Alexander Nanta Linggi berucap ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia Ke-11 (SSMNC2022) secara maya hari ini. Foto Ihsan SSM.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,578 syarikat sudah memanfaatkan inisiatif pengurangan kompaun hingga 90 peratus di bawah Akta Syarikat 1965 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga Mei lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengurangan kompaun itu antara enam inisiatif ke arah pemulihan ekonomi negara tahun ini akibat pandemik Covid-19.

“Inisiatif pengurangan kompaun itu dimulakan Mac lalu dan dilanjutkan sehingga 31 Oktober depan. Setakat 31 Mei lalu, sejumlah 1,578 syarikat memanfaatkan inisiatif berkenaan.

“Ini antara usaha menerusi SSM bagi membantu komuniti perniagaan mengurangkan kesan pandemik dalam meneruskan perniagaan mereka,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia Ke-11 (SSMNC2022) secara maya hari ini.

Alexander berkata, untuk inisiatif seterusnya iaitu Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), sejumlah 8,759 perniagaan baharu didaftarkan.

Menerusi inisiatif pendaftaran perniagaan secara percuma kepada orang kurang upaya (OKU) iaitu Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S10KU1P) pula, sejumlah 538 entiti perniagaan baharu didaftarkan setakat Januari hingga Mei lalu.

“Bagi inisiatif keempat iaitu pendaftaran percuma SSM BizTrust yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini, ia sudah dimanfaatkan 456,481 perniagaan setakat Mei lalu.

“Inisiatif kelima mencadangkan pindaan menambah baik peruntukan bawah Akta Syarikat 2016 berkaitan mekanisme penyelamat korporat dan skim aturan bagi menambah baik rangka kerja semasa berkait penstrukturan korporat.

“Inisiatif keenam iaitu pindaan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012. Kedua-dua pindaan ini dijangka dibentang di Parlimen antara Julai atau Ogos ini,” tambah beliau.

Sementara itu, Alexander berkata, SSMNC2022 kali ini membuka platform memperkukuh tadbir urus dan kelestarian korporat dalam mencapai nilai jangka panjang serta pertumbuhan perniagaan yang mampan.

“Banyak syarikat sudah mula menyepadukan kemampanan dalam strategi serta inisiatif perniagaan sedia ada mereka selaras aspirasi kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya. – MalaysiaGazette