Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh mengambil sikap tidak peduli terhadap terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN tidak puas hati apabila Perdana Menteri cuba menepis persefahaman yang telah dicapai.

“Dia tidak boleh (brushoff) tepis persefahaman yang kita telah capai, kami rasa tidak puas hati,

“Jadi tidak salah untuk kami rasa tidak puas hati dengan perkara itu sebab ia adil bagi kami untuk mohon perjumpaan dengan beliau,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri 10 Ahli Parlimen Bersatu antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Gombak), Datuk Kamaruddin Jaafar (PN-Bandar Tun Razak), Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) dan Datuk Seri Dr. Abd Latiff Ahmad (PN-Mersing).

Yang lain adalah Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali (PN-Bagan Serai), Datuk Seri Azizah Md Don (PN-Beufort), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PH-Indera Mahkota), Datuk Seri Mustapa Mohamed (PN-Jeli), Datuk Mas Ermieyati (PN-Masjid Tanah) dan Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah).

Dalam pada itu, Hamzah berkata, kenyataan itu dibuat atas kapasiti beliau sebagai Setiausaha PN dan bukan atas kapasiti peribadi.

Ini kerana, perkara tersebut dibincangan dalam gabungan PN.

“Kita rasa persefahaman apabila kita sokong Datuk Seri Ismail Sabri pada hari pertama, ada persetujuan di antara kita,” katanya lagi.

Ini kerana, PN berhak untuk melahirkan rasa tidak puas hati dengan Ismail Sabri yang menerima sokongan gabungan itu sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan yang dibuat itu adalah kapasiti saya sebagai Setiausaha Agung PN, saya tidak mahu katakan ia datang daripada saya secara peribadi.

Hamzah dalam satu kenyataan hari ini berkata Ismail Sabri dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam memenuhi perjanjian antara beliau dengan PN.

Pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN malam tadi yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hamzah berkata, PN akan menghantar delegasi untuk menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan terma-terma penting yang dimaksudkan. – MalaysiaGazette