Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainudin sekali lagi menegaskan beliau ‘tidak mempunyai kuasa’ terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung permohonan untuk meminda Perlembagaan UMNO.

Sebaliknya, beliau mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat ‘mempunyai kuasa’ terhadap isu berkenaan.

“Saya kadang-kadang sebut ini, orang UMNO kata Perdana Menteri lebih berkuasa daripada Menteri Dalam Negeri.

“Sememangnya betul, dia lebih berkuasa daripada Menteri Dalam Negeri kerana Kementerian Dalam Negeri tidak ada kuasa tentang RoS.

“Jadi tidak payah saya jawab soalan itu,” katanya bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa parti itu masih belum menerima sebarang notis daripada RoS untuk meminda perlembagaan parti itu.

RoS masih belum membuat keputusan itu selepas lebih 10 hari UMNO menyerahkan dokumen tambahan yang diminta RoS untuk tujuan itu. – MalaysiaGazette