SHAH ALAM – Kerajaan komitmen menyegerakan Akta Pendanaan Politik diwujudkan bagi mengelakkan pemimpin Barisan Nasional (BN) terus dituduh menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan sumber kewangan untuk membantu parti dalam pilihan raya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketiadaan akta itu menyebabkan ramai ahli parti dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) (AMLA).
“Kita bersetuju bentangkan Akta Pendanaan Politik, duit itu memang diserahkan kepada kepimpinan parti semua sekali termasuk MCA dan MIC semua dapat.
“Tapi kerana tiada Akta Pendanaan Politik, jadi semua yang dia dapat tidak diisytiharkan, akhirnya menjadi AMLA. Akhirnya yang salah adalah kita yang mengutip duit untuk kegunaan parti waktu pilihan raya.
“Kali ini kita akan perbetulkan perkara ini, bermakna kita akan ada Akta Pendanaan Politik,” katanya berucap merasmikan Konvensyen BN Selangor, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rang Undang-Undang Pendanaan Politik itu kini di bawah tanggungjawab Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang sedang menyiapkan draf akta tersebut.
“Akta ini di bawah menteri undang-undang yang sedang membuat draf dan sebagainya,” katanya.
Katany, apabila akta itu dibentang dan diluluskan di Parlimen kelak, mana-mana parti bebas mencari dana untuk membiayai operasi parti termasuk pilihan raya.
“Kita boleh kutip seperti di Amerika Syarikat dan sebagainya, kalau nak bertanding Presiden, mereka boleh (kutip) secara terbuka untuk mengutip dana untuk tujuan pilihan raya,” katanya. – MalaysiaGazette