KUALA LUMPUR – Pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Bendahari UMNO Selangor adalah antara usaha untuk menawan semula negeri itu dari tangan Pakatan Harapan (PH).
“Dengan sedikit rombakan, sekurang-kurangnya ia akan memberi semangat baharu untuk kita terus berjuang untuk pastikan BN Selangor bangkit.
“Insya-Allah, kita akan teruskan perjuangan untuk pastikan BN berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Pengerusi BN Selangpr, Tan Sri Noh Omar.
Tengku Zafrul pula percaya BN merupakan platform terbaik untuk menyatukan pelbagai kaum, generasi dan kumpulan dalam negara.
Tengku Zafrul yang diumumkan menyertai parti tersebut malam tadi dan dilantik sebagai Bendahari BN Selangor baharu berkata, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi tanggungjawab yang diberikan.
Sebagai orang yang baru berjinak dalam parti politik beliau amat memerlukan kerjasama daripada pemimpin dan ahli BN.
“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi tanggungjawab yang diberikan. Sebagai orang baru dalam politik, sudah tentu saya memerlukan kerjasama dan perkongsian pengalaman dari pucuk pimpinan dan rakan-rakan BN.
“Saya percaya BN adalah platform terbaik sebagai penyatu pelbagai kaum, generasi dan kumpulan dalam negara,” katanya.
Tengku Zafrul menggantikan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos sebagai Bendahari BN Selangor.
Pelantikan Tengku Zafrul itu diumumkan oleh Noh dalam Konvensyen BN Selangor malam tadi.
Pengumuman dibuat di hadapan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Majlis Tertinggi parti serta peserta konvensyen yang terdiri dari tiga parti komponen BN, UMNO, MCA serta MCA.
“Ribuan terima kasih sekali lagi kepada BN Selangor dan seluruh pucuk pimpinan Barisan Nasional atas kepercayaan yang diberikan ini. Semoga segala usaha kita diberkati Allah SWT,” kata Tengku Zafrul.
Pelantikan Tengku Zafrul menguatkan spekulasi yang beliau bakal bertanding sebagai calon BN pada pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Jamal yang juga yang menyandang jawatan itu sejak 2019 bertukar portfolio sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.