KUALA LUMPUR – Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini membincangkan dua isu dengan Yang di-Pertua Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi.
Ia membabitkan isu industri kelapa sawit dan penilaian Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (Jabatan Negara) mengenai pemerdagangan orang yang meletakkan Malaysia berada pada Tahap 3.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu berkata, kerajaan ingin mencari jalan penyelesaian mengenai isu kelapa sawit dengan mengadakan kerjasama yang lebih rapat dengan AS.
“Saya tekankan Malaysia tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan mengenai tuduhan yang dilemparkan kepada industri kelapa sawit kita.
“Saya berharap agar lebih banyak hubungan kerjasama boleh diadakan kedua-dua negara,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Pelosi tiba di Malaysia hari ini sebagai sebahagian daripada rangka lawatan ke empat negara Asia. Beliau turut mengadakan lawatan ke Dewan Rakyat.
Kuala Lumpur menjadi lokasi persinggahan kedua Pelosi selepas melawat Singapura pada Isnin sebelum ke Korea Selatan dan Jepun.
Jelas Azhar Azizan, beliau turut membangkitkan isu keberadaan Malaysia pada tahap 3 dalam penilaian Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang.
Jelas beliau, Pelosi amat teruja mendengar penerangan Malaysia mengenai kedua-dua isu berkenaan.
“Saya tekankan bahawa Malaysia sedang mengambil tindakan-tindakan yang kukuh untuk memperbaiki keadaan dan ini juga dibangkitkan oleh Perdana Menteri dengan Pelosi.
“Pelosi memberikan respon yang amat baik sekali kerana beliau amat teruja dengan keadaan kita di sini.
“Ia agak di luar jangkaan beliau dan datang dengan hati yang terbuka untuk belajar daripada kita. Kita juga mempunyai hati yang terbuka untuk belajar dengan mereka,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerangkan bahawa laporan JNAS yang meletakkan negara pada Tahap 3 adalah bersifat subjektif.
Menurut Hamzah, penilaian itu juga berpandukan perundangan AS bagi jenayah pemerdagangan orang iaitu Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan dan Keganasan 2000 (TVPA). – MalaysiaGazette