KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai hak mendesak China memberi penjelasan terhadap insiden serpihan dari sebuah roket milik Kerajaan Republik Rakyat China yang memasuki ruang udara Sarawak.
Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun berkata, ia jelas melanggar kedaulatan negara kerana serpihan berkenaan sudah memasuki ruang udara Malaysia.
“Perkara ini disahkan sendiri oleh Agensi Angkasa Malaysia (MySA) yang juga mengesahkan serpihan itu jatuh di Laut Sulu. Kita bernasib baik kerana serpihan itu tidak jatuh ke kawasan berpopulasi berisiko berlaku kemalangan nyawa.
“Kita juga bernasib baik kerana serpihan balistik berkenaan tidak mengenai mana-mana kapal udara yang menggunakan ruang udara negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, serpihan logam disyaki sebahagian daripada komponen roket Long March 5B milik China ditemukan di Sepupok, Niah, Sarawak.
Komponen itu dijumpai oleh penduduk di Batu Niah yang kemudian melaporkan kepada polis semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata, hasil tinjauan awal pihaknya mendapati terdapat serpihan logam terbenam ke dalam tanah pada kedalaman lebih kurang satu meter di kawasan sekitar rumah salah seorang penduduk.
Dalam pada itu, Shahbudin berkata, insiden ini satu daripada pelbagai kes pelanggaran kedaulatan Parti Komunis China (CPC) ke atas wilayah kedaulatan Malaysia.
“Sebelum ini, China tanpa segan silu melanggar kedaulatan udara dan perairan Laut China Selatan. Saya kecewa kerana China memperkecilkan insiden ini malah teguran pemegang taruh dalam bidang eksplorasi angkasa lepas seperti NASA diremehkan CPC.
“Ini kerana mereka menganggap ia adalah cubaan untuk memburukkan kempen eksplorasi angkasa China,” katanya.
Tambahnya, tindakan CPC yang enggan berdepan kritikan antarabangsa atas kegagalan teknikalnya sendiri, kedaulatan Malaysia pula tergadai malah nyawa rakyat dijadikan taruhan.
“Nampaknya jelas keselamatan kita warga Malaysia yang diancam CPC dilihat remeh berbanding kemegahannya membina infrastruktur angkasa lepas.
“Saya menuntut kerajaan Malaysia menyedari hakikat ini. Nilai nyawa warga Malaysia dan nilai integriti dan kedaulatan negara tidak mempunyai erti buat China dan CPC.
“Atas hakikat ini saya menuntut Kerajaan bertegas dan meminta China beri penjelasan terhadap insiden pelanggaran ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette