Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media semasa hadir ke Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan gagasan baharu yang bertujuan membantu orang Melayu dan Islam di negara ini.

Namun Anwar berkata, beliau tidak akan bersetuju dengan hasrat bekas Perdana Menteri itu kerana bantuan itu sepatutnya dilakukan Dr Mahathir ketika masih berkuasa mentadbir negara.

“Saya tidak mendokong insiatif seperti itu kerana kalau betul nak bela Melayu Islam ada 22 bulan dia patut sudah tolong, tapi Melayu yang dipilih itu tidak mewakili sentimen Melayu.

“Saya fikir orang Melayu patut sedar masalah dalam negara ini adalah pimpinan Melayu atau bukan Melayu yang rasuah, perkayakan anak-anak dan keluarga mereka.

“Kemudian bila terdesak akan rayu untuk dapatkan dokongan orang-orang Melayu atau kaum masing-masing termasuk parti Cina, India, sama sahaja,” katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan sebuah gabungan politik Orang-orang Melayu yang dinamakan sebagai Gerakan Tanah Air (GTA), hari ini.

Menurutnya, GTA bukan hanya gabungan parti-parti politik, bahkan melibatkan pelbagai kepimpinan Melayu daripada badan bukan kerajaan (NGO), intelektual, tokoh masyarakat, pendidik, agamawan, wanita, profesional, ahli perniagaan dan generasi baharu.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan soal terpenting ketika ini ialah memerangi pemimpin kerajaan yang merompak dan mencuri kekayaan negara demi kepentingan peribadi.

“Hampir 15 tahun lalu saya sebut, siasat semua, siasat Anwar, siasat semua yang lain.

“Siapa yang diketahui merompak kekayaan negara, memperkayakan anak pinak dan keluarga, dedahkan dan mereka harus berundur,” katanya.

Katanya, penubuhan GTA tidak akan melemahkan orang Melayu jika elemen kesedaran itu wujud dalam masyarakat.

“Orang Melayu tahu keadaan mereka terhimpit, tanah dirampas dan miskin. Jangan harap orang yang sama memberi pembelaan sewajarnya.

“Sepatutnya beri ruang kepada pendekatan rakyat Malaysia, yang bangkit orang Melayu, orang Cina, Iban, Kadazan untuk menyelamatkan negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast