Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian MAHA 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUH NA'IM, 06 OGOS 2022.

SERDANG – Sebuah jawatankuasa khas peringkat dalaman ditubuhkan bagi menyelesaikan isu membabitkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang didakwa menengking seorang pegawai Jabatan Imigresen (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kabinet telah bersetuju menubuh jawatankuasa itu dan telah meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk menguruskannya.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu diharap dapat disegerakan agar siasatan serta penyelesaian adil dapat diketahui terhadap mereka yang terbabit.

“Kita kena berlaku adil kepada semua pihak (termasuk) yang mengadu, yang diadu. Kita serahkan kepada satu jawatankuasa yang akan ditentukan oleh KSN siapa jadi pengerusi, siapa jawatankuasa dan sebagainya untuk membuat siasatan secara dalaman.

“Ahli jawatankuasa itu mungkin daripada luar. Ada yang mencadangkan Peguam Negara sebagai pengerusi, itu saya serahkan kepada KSN dan saya harap penubuhan jawatankuasa itu disegerakan…jangan terlalu lama,” katanya.

Beliau berkata dmikian kepada media ketika ditemui pada perasmian sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini,

Ditanya berapa lama tempoh siasatan itu akan dilakukan, Ismail Sabri mengulangi ia diserah kepada jawatankuasa untuk melakukan siasatan.

“Bukan susah sangat sebab ada video. Saya tengok ada video yang diedarkan. Mereka (jawatankuasa) perlu memanggil saksi, kedua-dua belah pihak dan mereka akan buat keputusan.

“Kita bincang, tak mahu timbul ada perpecahan dalam kakitangan kerajaan. Suasana harmoni dalam kerajaan perlu dikekalkan,” tambahnya.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan khususnya Perdana Menteri dan KSN campurtangan dalam isu membabitkan KPPA yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan JIM.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, badan itu turut menuntut KPPA memohon maaf atas tindakan yang didakwa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada pagi 3 Ogos lalu.

Adnan dilapor berkata, seorang pegawai tertinggi kerajaan sewajarnya menunjukkan teladan yang baik kepada pegawai bawahan mereka bukan sebaliknya.

“Adalah amat malang jika seseorang pegawai tertinggi dalam kerajaan memerlukan layanan bertaraf VVIP, sedangkan beliau harus menyantuni pegawai kita dengan bijaksana dan memahami tugasan mereka di lapangan, bukannya memalukan pegawai berkenaan di depan khalayak ramai seperti didakwa Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung (KPISM),” katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagaimanapun, dalam kenyataan balas menafikan tuduhan terhadap Mohd Shafiq itu dan menjelaskan, Mohd Shafiq hanya membuat teguran terhadap imigresen khususnya Ketua Penolong Penguasa Imigresen, James Lee berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur operasi standard. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hamzah sahkan insiden pegawai imigresen ‘ditengking’ pegawai kanan perkhidmatan awam