Pemilik Jojo Events, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir atau lebih terkenal dengan jolokan Tan Sri Jojo

KUALA LUMPUR – Nama Jojo Events bukanlah asing dalam kalangan rakyat tempatan mahu pun persada antarabangsa dalam dunia hiburan kerana sering menganjurkan pelbagai konsert dan persembahan artis lagenda dunia.

Pemiliknya, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir atau lebih terkenal dengan jolokan Tan Sri Jojo sudah dikenali terutamanya dalam dunia korporat, hartanah, perhotelan, perbankan, hiburan serta banyak lagi lebih 40 tahun tampil untuk merancakkan kembali ekonomi selepas pasca Covid-19.

Bercakap dengan MalaysiaGazette baru-baru ini, Jojo agak sayu dengan apa yang berlaku sejak dua tahun lalu akibat Covid-19 sehingga menyebabkan negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sedih tengok keadaan sekarang. Saya hendak cakap off the record sahaja beberapa perkara tentang keadaan daif kita pada masa ini. Ada yang datang berjumpa saya, memang saya tidak dapat luahkan langsung dalam perkataan.

“Apa yang saya tahu kini selagi yang boleh, saya akan bantu menaikkan kembali, bangkitkan serta rancakkan ekonomi terutamanya beberapa industri yang terjejas teruk walaupun kita di fasa pasca Covid-19, keperitan itu masih lagi terus dirasai.

“Antara yang akan saya lakukan ialah bangkitkan kegemilangan industri seperti hiburan, pelancongan, kebudayaan. Itu juga antara sebab mengapa Jojo Events sedang merancang konsert, persembahan untuk artis tempatan dan juga bawa masuk dari persada antarabangsa.

“Antara yang akan melakar sejarah ialah penganjuran ‘Konsert Rakyat Melaka’, kita menghimpunkan lapan artis yang enam daripadanya adalah lagenda sepanjang zaman negara ini. Kita kumpulkan mereka di bawah satu bumbung iaitu di bumi  Melaka.

“Persembahan muzikal bersama-sama lebih 13 orkestra pastinya akan memberi satu kepuasan kepada semua khasnya rakyat Melaka yang begitu dahagakan hiburan setelah sekian lama, konsert ini akan membawa satu impak cukup hebat. Nantikan dan saksikan sendiri kelak,” katanya.

Pemilik Jojo Events, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir atau lebih terkenal dengan jolokan Tan Sri Jojo.

Sambung beliau, Konsert Rakyat Melaka yang mendapat kerjasama dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sebenarnya bertujuan untuk membantu memulihkan industri pelancongan negara.

“Sebenarnya konsert ini tidak hanya dibuat untuk nama mahu pun keuntungan sebaliknya ramai akan mendapat manfaat dari artis kita sehinggalah yang lain-lain. Konsert ini akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) dengan anggaran kehadiran lebih 7,000 pengunjung.

“Kita juga anjur bazar makanan dengan memberi peluang kepada usahawan kecil menjual makanan mereka serta barangan lain, ada food truck, kita juga galakan rakyat kita luar dari Melaka hadir, tinggal sehari negeri itu.

“Pelbagai inisiatif dan perancangan sedang di lakukan bagi konsert ini. Apa yang lebih teruja, kita juga adakan konsert ini bagi meraikan hari ulangtahun ke-73 TYT yang kita sayangi, Tun Mohd Ali Mohd Rustam. Pasti semua teruja,” ujarnya lagi.

Jojo juga memberitahu sejurus selepas Konsert Rakyat Melaka, pihaknya sedang dalam perancangan untuk mengadakan satu lagi konsert mega Bollywood dengan mengetengahkan artis antarabangsa dan tempatan sekitar bulan November depan.

“Sepatutnya lebih awal lagi tetapi Stadium Bukit Jalil sudah di tempah untuk konsert Justin Bieber. Tidak apa kerana kita akan ada masa lebih panjang untuk membawa lebih banyak hiburan yang pastinya akan memberi manfaat besar kelak, bukan hanya sekadar hiburan sahaja,” katanya.

Untuk makluman, antara nama besar yang akan menghiburkan rakyat Melaka pada hari itu termasuklah Ramli Sarip, Ella, Alleycats, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Jaclyn Victor, kumpulan rock retro Kugiran Masdo serta gandingan hebat suami isteri, Syamel dan Ernie.

Kepada yang berminat tiket Konsert Rakyat Melaka dijual dengan harga antara RM50 sehingga RM100 bermula 10 Ogos ini menerusi RedTix. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jojo Events anjur ‘Konsert Rakyat Melaka’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast