Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR –  Walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak dan Meru di Selangor telah “bermigrasi” ke PKR, tetapi dua kerusi itu akan dipulangkan kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Amanah mengumumkan pada Julai 2020 bahawa ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman telah dipecat keahliannya manakala ADUN Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar dikhabarkan telah memohon menyertai PKR pada September 2020.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Hee Loy Sian berkata, walaupun kedua-dua ADUN Meru dan Sabak telah menyertai PKR, tetapi dua kerusi itu adalah milik Amanah untuk ditandingkan.

Beliau berkata, PKR tidak akan mencalonkan Ahmad Mustain dan Mohd. Fakhrulrazi untuk mempertahankan kerusi mereka di Sabak dan Meru.

“Sama ada mereka akan dicalonkan di kawasan lain, ini bergantung kepada keputusan pimpinan pusat,” katanya kepada China Press.

Mengenai tiga kerusi Parlimen dan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditinggalkan Bersatu, Loy Sian berkata, perbincangan masih dijalankan antara parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa terdapat kerusi tertentu yang diintai oleh ketiga-tiga parti.

“Sebagai contoh, Semenyih diminati tidak kira ole PKR, DAP atau Amanah.

“Kerusi lain yang diminati PKR pula adalah Batang Kali, Dengkil, Jeram dan Sungai Tawar. Pertikaian di kerusi-kerusi ini juga kurang,” katanya.

Ditanya mengenai penentuan calon PKR, Loy Sian berkata, keputusan akhir belum dibuat, tetapi Ahli Parlimen dan ADUN sedia ada di Selangor dijangka akan mempertahankan kerusi masing-masing.

Beliau bagaimanapun memberitahu, disebabkan perubahan pemimpin cabang susulan pemilihan parti, maka nama yang dicalonkan mungkin berubah.

Katanya, selain cabang, sayap pemuda dan wanita negeri juga akan mencadangkan nama calon masing-masing.

“Selepas diserahkan kepada pengerusi negeri untuk tujuan saringan, nama berkenaan seterusnya akan diserahkan kepada pemimpin tertinggi parti untuk keputusan terakhir,” katanya. – MalaysiaGazette