Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) masih menjalankan siasatan forensik berhubung kemungkinan insiden pencerobohan data yang diumumkan oleh iPay88 (M) Sdn. Bhd. (iPay88).

Bank Pusat itu telah mengarahkan bank-bank untuk segera memaklumkan pemegang kad yang terlibat tentang langkah-langkah perlindungan tambahan yang akan diambil untuk terus melindungi pengguna daripada risiko penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran.

Bank-bank juga telah mempertingkatkan pengurusan risiko penipuan serta memantau aktiviti yang mencurigakan atau aktiviti penipuan yang menggunakan kad-kad yang terlibat.

BNM berkata, ia memandang serius sebarang insiden yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem pembayaran dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan yang sewajarnya.

Ia bagi memastikan kawalan keselamatan yang kukuh dilaksanakan dan diamalkan oleh institusi kewangan serta memastikan pelanggan mendapat layanan yang adil.

Oleh itu, pelanggan dinasihatkan untuk segera memaklumkan kepada bank mereka jika terdapat transaksi luar daripada kebiasaan atau transaksi tanpa kebenaran yang menggunakan kad mereka.

Menurutnya, pencerobohan tersebut hanya berpunca daripada dan terbatas pada sistem pembayaran kad iPay88 dan tidak melibatkan kelemahan dalam sistem institusi perbankan.

Institusi kewangan di Malaysia juga mengamalkan kaedah pengesahan yang mantap bagi transaksi kad secara dalam talian, termasuk memaklumkan pemegang kad dengan segera untuk pengesahan lanjut apabila terdapat transaksi yang dianggap lebih berisiko.

”Hal ini mengurangkan risiko berlakunya penipuan transaksi. Bagi transaksi yang tidak menggunakan pengesahan, khususnya pembelian daripada peniaga di luar negara, pelanggan tidak akan dipertanggungjawabkan untuk sebarang penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran yang mungkin terjadi susulan insiden ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini,

Berikutan insiden ini, BNM telah mengarahkan bank-bank untuk segera memaklumkan pemegang kad yang terlibat tentang langkah-langkah perlindungan tambahan yang akan diambil untuk terus melindungi pengguna daripada risiko penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran.

Ujarnua, bank-bank juga telah mempertingkatkan pengurusan risiko penipuan serta memantau aktiviti yang mencurigakan atau aktiviti penipuan yang menggunakan kad-kad yang terlibat. – MalaysiaGazette