Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) digesa supaya menunjukkan bukti bahawa projek terowong bawah laut di Pulau Pinang mempunyai sebarang kemajuan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat gesaan tersebut kepada pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang.

“Adakah Uncle Kit Siang tahu perbezaan antara projek lewat berbanding projek mati atau terbengkalai sama sekali seperti projek terowong Pulau Pinang yang dilaksanakan oleh anak kamu?

“Sila tunjukkan gambar-gambar kemajuan projek terowong. Berapa inci jalan raya atau terowong sudah dibina?” tanya Najib.

Projek terowong bawah laut itu antara enam soalan yang dikemukakan Najib kepada pemimpin PH untuk dijawab.

Memorandum Persefahaman (MoU) pembinaan terowong itu dimeterai di Putrajaya pada 28 April 2011 yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu Lim Guan Eng.

Projek berkenaan dianugerahkan kepada Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) melalui proses tender Request For Proposal (RFP) pada 6 Februari 2013.

Guan Eng ketika ini berdepan dengan pelbagai tuduhan berkaitan projek tersebut di mahkamah.

Dalam kenyataan di Facebook Ahli Parlimen Pekan itu turut menggesa supaya PH menyatakan kemajuan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia ketika parti itu mentadbir negara.

“Berapa banyakkah kemajuan projek yang dicapai sepanjang 22 bulan PH memerintah? Jawab sikit. Atau adakah benar kita mencapai kemajuan 55 peratus dalam tiga setengah tahun sejak pembinaan fizikal bermula pada Januari 2015 hingga Mei 2018 dan hampir sifar kemajuan dari Mei 2018 hingga ke hari ini?”

“Apakah yang PH lakukan untuk mengatasi kelewatan ini dan usaha mempercepatkan penghantaran ketika mereka memegang kuasa pada Mei 2018 iaitu hampir 1 tahun sebelum tarikh penghantaran penuh April 2019?

“Mengapakah Kerajaan PH diam menikus sepenuhnya apabila tarikh akhir penghantaran April 2019 bagi kapal pertama terlepas tetapi hanya membuatnya isu besar tiga tahun kemudian setelah projek dibeku ketika mereka kerajaan?” tanya Najib.

Beliau juga ingin mengetahui jumlah dana atau jaminan pinjaman yang diberikan oleh Kerajaan PH kepada Boustead untuk membantu syarikat itu yang dalam kesusahan.

Ia bagi memastikan kontrak nasional yang disifatkan sebagai strategik itu diteruskan serta untuk menjaga kepentingan Lembaga Tabung Angkatan Tentera supaya aset terbesarnya tidak terjejas.

“Jika projek ini tidak diberikan kepada Boustead yang dimiliki oleh LTAT maka siapakah konsortium atau syarikat terbaik seterusnya yang mempunyai pengalaman industri yang betul serta limbungan pembinaan kapal yang diperlukan untuk diberikan projek ini?

“Bolehkah anda namakan satu syarikat tempatan yang lebih layak?

“Soalan bonus, tolong tunjukkan saya bukti bahawa Najib pernah campur tangan dalam menukar jenis kapal dari Sigma kepada Gowind atau bahawa Najib pernah mengambil wang daripada projek ini,” tanya Najib.

Pada ketika ini projek LCS mengalami kelewatan dan parti politik menggunakan isu berkenaan ketika pilihan raya umum ke-15 semakin menghampiri. – MalaysiaGazette