KUALA LUMPUR – Gustavo Almeida membuktikan keputusan Negeri Sembilan FC untuk mendapatkannya pada jendela pintu perpindahan kedua adalah sangat tepat selepas pemain itu terus meledak dua lagi jaringan semasa membantu pasukan menewaskan PJ City FC, 2-0 pada Sabtu lalu.
Secara keseluruhan, pemain yang berasal dari Brazil itu telah meledak enam gol dalam lapan perlawanan yang menjadikan dia berkongsi kedudukan dengan Herold Goulon bagi penjaring terbanyak Negeri Sembilan.
Menurut Gustavo, dia sangat teruja kerana sedang melalui antara detik terbaik dalam kariernya dengan membantu Negeri Sembilan berada di tangga ketiga Liga Super serta meraih kemenangan buat kali keempat berturut-turut.
“Rasa teruja kerana dapat jaringkan dua gol bagi membantu pasukan untuk memenangi perlawanan dan secara kebetulan, di padang ini juga saya ada jaringkan dua gol semasa menang 3-2 dengan Selangor.
“Mungkin ada tuah untuk saya apabila bermain di sini namun apa paling penting, saya dapat penuhi tugas yang diberikan dan harap pada perlawanan akan datang, saya akan terus konsisten untuk jaringkan gol.
“Memang ada rasa sedikit kecewa kerana saya hampir dapat meledak hatrik di penghujung perlawanan tetapi dihalang oleh pertahanan ketika bola hanya sedikit sahaja lagi untuk masuk ke gawang tetapi tidak mengapa, mungkin pada perlawanan lain saya boleh lakukan.
“Sasaran saya mahu cuba dapatkan lebih 10 jaringan di saingan Liga Super pada musim ini dan saya yakin boleh lakukannya selain membantu pasukan bagi meraih kedudukan di tangga kedua atau ketiga,” katanya.
Gustavo pernah bermain dengan UiTM FC pada dua musim lalu di Liga Super dan berjaya membawa pasukannya menamatkan cabaran di tangga keenam serta menjaringkan enam gol dari 11 perlawanan.
Penyerang berusia 26 tahun itu berjaya menyesuaikan diri dengan taktikal 3-4-3 atau 3-5-2 yang diserapkan K. Devan malah cukup berbahaya pada situasi sepakan percuma.
Dalam pada itu, ketua jurulatih, K. Devan menyifatkan bukan hanya kualiti pada Gustavo yang memberikan perbezaan kepada prestasi Negeri Sembilan namun disiplin yang ditunjukkan daripada semua posisi.
Beliau berharap keyakinan tinggi yang sedang dirasai dalam pasukan akan mampu terus diterjemahkan apabila sekali lagi mereka bakal bertandang ke Lembah Klang pada Khamis ini untuk berdepan Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
“Pemain faham akan tanggungjawab mereka semasa kami melakukan serangan dan situasi bertahan selain kedudukan mereka di tangga ketiga juga memberikan motivasi
untuk terus tampil bersemangat dalam tiap perlawanan.
“Saya berpuas hati dengan sumbangan semua pemain import seperti Gustavo dan Herold Goulon, begitu juga Omid Nazari yang meningkat persembahannya selepas saya meletakkan dia di posisi tengah selain pemain tempatan yang sentiasa bekerja keras.
“Kami akan melalui satu lagi perlawanan yang sukar iaitu bertemu KL City dan saya boleh katakan ini akan menjadi antara aksi paling sukar kerana lawan dalam situasi amat mahukan kemenangan.
“Bagaimanapun, saya yakin dengan kemampuan Negeri Sembilan yang berada di tahap keyakinan tertinggi pada masa sekarang malah mereka bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette