KUALA LUMPUR – UMNO Kedah tidak berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus meningkatkan lagi kebarangkalian berlaku pertembungan melibatkan kedua-dua parti di kerusi majoriti pengundi Melayu.
Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin secara sinis berkata, partinya tidak ingin ‘menumpang’ kekuatan Pas.
“Terima kasih, tetapi kami tidak berminat. Kami tidak mahu ‘berkasih sayang’ hanya kerana ada kepentingan tertentu yang hendak dicapai. Itu tidak ikhlas namanya,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan berkata, beliau mempelawa UMNO yang disifatkannya seperti ‘harimau kena tembak’ untuk ‘menumpang’ Pas yang dianggapnya semakin kuat di negeri itu.
Shaiful Hazizy menambah, penolakan itu bukan kerana UMNO sombong dan tidak menyukai penyatuan tetapi mempunyai asas yang jelas dan konsisten.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok mengakui bahawa sebagai sebuah parti politik, UMNO memang berhajat untuk kembali berkuasa dan memerintah.
“Tetapi, kami masih ada prinsip. Janganlah kita ini berpakat hanya kerana kuasa. Janganlah kita ini berpeluk dan berdakap hanya apabila tiba musim pilihan raya.
“Di mana nilai perjuangan dan pendirian? Di mana contoh teladan yang baik kepada rakyat?” soalnya.
Shaiful Hazizy berpandangan, sekiranya Pas mahu berbaik-baik dan menyatukan kekuatan dengan UMNO, ia perlu dilakukan kerana rakyat secara konsisten dan bukannya bermusim.
Beliau berkata, Pas tidak bersama UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Johor tetapi kembali menyatakan kesediaan untuk bekerjasama setelah parti itu kalah.
“Sepanjang tahun di Kedah, UMNO dikecam, dipersalahkan dengan pelbagai perkara. UMNO begitu UMNO begini. Menjelang PRU, tiba-tiba kita diajak kembali bekerjasama?
“Bukan sahaja rakyat dan UMNO keliru, saya yakin penyokong Pas sendiri kelu dan keliru,” jelasnya.
Shaiful Hazizy menyedari bahawa UMNO bukan parti yang sempurna dan berdepan cabaran besar untuk memulihkan diri dan membuat tawaran baharu yang segar dan meyakinkan.
“Tetapi, UMNO juga percaya, kami bukan ‘lost cause’. UMNO ada kekuatan dan kelebihan tersendiri.
“Kalau rakyat yakin, mereka akan pilih. Kalau rakyat rasa kita belum kuat dan belum bersedia lalu mereka menolak kita, UMNO akan terima dengan terbuka,” katanya.
Beliau memberitahu, tugas parti politik adalah menawarkan yang terbaik kepada rakyat dan bukan berpura-pura untuk berbaik-baik.
Shaiful Hazizy secara sinis berkata, sebagai parti yang dilabelkan sebagai ‘itik patah kaki’ dan ‘harimau kena tembak’, UMNO tidak mahu ‘merosakkan’ Pas.
“UMNO percaya kita bukan rakan kongsi yang baik dan secocok kepada Pas yang hebat. Tanpa UMNO pun, bukankah Pas sudah mengisytiharkan kemenangan 22 kerusi?
“Jadi, kami kalungkan ucapan tahniah dan selamat bekerja kami ucapkan,” jelasnya.
Beliau menyatakan, UMNO mempunyai pelan dan tawaran untuk membangunkan Kedah yang dilihat mempunyai potensi yang besar dan menjangkaui idea sekadar menjadi pengeksport ketum. – MalaysiaGazette