PETALING JAYA – Perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan dua wakil Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini bukan satu perjumpaan rasmi parti.
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, memang partinya sudah memutuskan Setiausaha Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali sebagai wakil parti namun bukan untuk pertemuan itu.
“Jika itu yang diputuskan dalam parti, itu wakil rasmi parti untuk berjumpa dengan Perdana Menteri membincangkan hal berkaitan dengan PN dan Bersatu.
“Yang perjumpaan lain itu (baru-baru ini) mungkin sebab mereka (Hamzah dan Azmin) pun menteri. Saya tak berjumpa dengan Perdana Menteri sedangkan mandat sudah diberi kepada mereka berdua,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Srikandi Bersatu di sini hari ini.
Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Ismail Sabri ‘menipu’ berhubung kenyataannya yang sudah mengadakan pertemuan bersama pimpinan PN pada dua minggu lalu.
Wan Saiful hairan kenyataan itu dibuat sedangkan pertemuan yang dimaksudkan hanyalah perjumpaan makan tengah hari.
Dalam perkembangan lain, Rina berkata, sayap Bersatu berharap agar lebih ramai calon wanita diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).
“Kita akan serahkan cadangan nama kepada pucuk pimpinan dan besarlah harapan kita agar PRU kali ini lebih ramai lagi calon wanita.
“Tengok kepada prestasi Srikandi, ini bukan sahaja berkaitan dengan parti sendiri tapi kalau kita lihat indeks di negara ini kita tengok penglibatan wanita dalam politik ini masih amat kurang sangat,” katanya.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), Pakatan Harapan (PH) meletakkan 85 calon wanita yang terdiri daripada PKR, Bersatu, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. – MalaysiaGazette