Ahmad Fadhli Shaari.

KUANTAN – Pas mampu menawan Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas berjaya melakukan perkara yang sama di Kelantan, Terengganu dan Kedah sebelum ini.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia tidak mustahil dilakukan apabila pelancaran jentera Pas, Himpunan Hijau 3.0 atau Himpunan 20,000 (H20k) menerima sambutan tinggi baru-baru ini.

“Jentera Pas Pahang kelihatan semakin bertambah aktif dari barisan Pemuda, Muslimat, Ulama dan seluruh lapisan jentera bekerja keras demi memastikan Pas berjaya merampas Pahang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Namun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Pas mempunyai peluang merubah kepimpinan negeri Pahang jika penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) dapat bekerjasama dan memberi mandat kepada parti itu.

“Hari ini Pas menang lapan kerusi DUN daripada 42 kerusi DUN Pahang dalam PRU 2018. BN 25 kerusi manakala PH 9 kerusi.

“Jika penyokong-penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya merubah kepimpinan negeri Pahang, insyaAllah Pas ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang syer paling besar dalam pembentukan kerajaan Pahang,” ujarnya.

Beliau mengambil contoh kawasan DUN Pulau Tawar di mana Pas hanya kalah dengan majoriti 587 undi di tangan UMNO, sedangkan undi yang diperolehi oleh PKR ialah 1973.

Katanya, undi tersebut dibazirkan begitu sahaja dengan memberikan kemenangan kepada UMNO.

“Ia berlaku juga di beberapa DUN yang lain, misalnya DUN Tioman di mana calon Pas mendapat undi sebanyak 5,382 dan tewas dengan majoriti 1,280 di tangan calon BN/UMNO, sedangkan calon PKR di DUN tersebut mendapat 3,029 undi,” jelasnya. – MalaysiaGazette