Reezal Merican (kanan) bersama kontraktor SMK Bertam Putra meninjau proses pembinaan sekolah tersebut hari ini.

BERTAM – Kontrator Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Putra di sini diberi tempoh empat bulan untuk menyiapkan projek yang terbengkalai sejak dua tahun lalu.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, projek yang menelan kos RM27 juta itu sepatutnya siap pada April 2020.

Bagaimanapun, atas pelbagai kekangan termasuk pandemik Covid-19 serta kesukaran mendapat pekerja menyebabkan projek terpaksa diklasifikasi dalam senarai projek sakit.

Bagaimanapun, jelas beliau, atas pelbagai kekangan termasuk pandemik Covid-19 serta kesukaran mendapat pekerja menyebabkan projek terpaksa diklasifikasi dalam senarai projek sakit.

Reezal Merican.

“Kira-kira 86 peratus pembinaan sekolah menengah ini telah siap namun dalam tempoh lima bulan kebelakangan ini proses menyempurnakan projek sangat perlahan.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan kontraktor projek ini bagi mendapatkan pelan pemulihan sekali gus memberikan mereka tempoh sehingga hujung tahun ini untuk melengkapkan pembinaan sekolah tersebut.

“Selain itu, saya juga meminta pihak kontraktor menyenaraikan pelan pemulihan dalam tempoh satu minggu untuk kita lihat kekangan dihadapi mereka dan saya sendiri selaku Ahli Parlimen Kepala Batas akan berjumpa dengan Menteri Sumber Manusia sekiranya kekangan itu membabitkan kekurangan pekerja asing,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Pulau Pinang.

Terdahulu, Reezal Merican mengadakan perbincangan empat mata dengan kontraktor yang dilantik bagi pembinaan SMK Bertam Putra bersama wakil Kementerian Pendidikan ketika meninjau sekolah tersebut.

Mengulas lanjut Reezal Merican berkata, kelewatan pembinaan institusi sekolah memberi tekanan kepada pembangunan modal insan setempat.

“Kita kena rancang betul-betul soal pembinaan sebegini kerana pertumbuhan penduduk yang tak seiring dengan pertumbuhan pembangunan akan memberikan kesan kepada masyarakat setempat.

86 peratus pembinaan sekolah itu telah selesai.

“Malah, lambakan pelajar terpaksa pergi ke SMK Kepala Batas, SMK Bertam Perdana dan Bertam Indah akibat kelewatan projek ini disiapkan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM9.07 bilion untuk pembangunan negeri Pulau Pinang yang  membabitkan 199 projek.

“Daripada jumlah itu, 93 projek merupakan projek sambungan manakala 106 adalah projek baru.

“Maka amat penting untuk kita lihat progres pembangunan itu agar itu tidak tersenarai dalam projek lewat atau sakit,” kata Reezal Merican. – MalaysiaGazette