Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang sudah mengadakan rundingan awal berkenaan pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti gabungannya.

Bagaimanapun, ia akan dimuktamad dan diumumkan dalam mesyuarat PN Pahang yang akan diadakan selepas Konvensyen PN Kebangsaan 27 Ogos ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, mesyuarat berkenaan antara lain akan membincangkan pelantikan Jawatankuasa PN Kawasan Parlimen dan DUN di negeri ini.

“Bagaimanapun, di peringkat kawasan-kawasan Parlimen, keseluruhannya sudah ada persefahaman sesama pemimpin di peringkat akar umbi mengenai siapa yang akan mengetuai kawasan Perlimen tersebut.

“Ketiga-tiga parti juga faham sesiapa sahaja yang dilantik bagi mengetuai mana-mana kawasan Parlimen, itu bukan bermakna parti itu akan bertanding di Parlimen tersebut. Pelantikan itu adalah bagi melicinkan pengurusan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Peluang Kedua Kehidupan Baharu kepada bekas banduan dan penagih dadah di LYC AutoSpa Center, Jalan Haji Abdul Aziz, di sini hari ini.

Diminta mengulas pendekatan “Pas Teraju Pahang” yang diuar-uarkan dalam Himpunan Jentera Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang baru-baru ini, Saifuddin menjelaskan setakat ini Pas masih bersama-sama PN dalam perancangan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Hubungan antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan di Pahang sangat mesra, sangat akrab. Setakat hari ini, memang kita bergabung dan kita akan bertanding atas nama PN”

“Tapi kalau ada lagi perkembangan dan keputusan baharu akan diputuskan Majlis Tertinggi PN,” jelasnya.

Saifuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, PN Pahang juga berhasrat untuk bertanding di semua 14 kerusi Parlimen serta 42 kerusi DUN dan menyifatkan peluang PN untuk menakluki Pahang cerah.

Ini kerana, gabungan Pas, Bersatu dan Gerakan kini dilihat boleh memberi penambahan  kerusi berbanding ketika menjadi lawan semasa PRU yang lalu.

Selain itu, katanya, dengan kewujudan pengundi 18 tahun boleh memberi peluang cerah untuk PN di Pahang.

“Bagaimanapun, kita tahu akhirnya rakyat akan buat keputusan semasa pilihan raya. Jadi kita buat kerja kita. kuatkan jentera kita dan kita turun padang untuk bersama dengan rakyat,”kata Saifuddin. – MalaysiaGazette