GEORGE TOWN – Bagi mengekang kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan DAP di Pulau Pinang, Pas mahu memfokuskan agenda penyatuan ummah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan Pas negeri, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, umum mengetahui Pulau Pinang merupakan nadi utama PH dan DAP, justeru agenda penyatuan parti Melayu dalam memastikan satu lawan satu lebih penting.
Jelas beliau, ia berikutan pertembungan parti-parti Melayu di Pulau Pinang akan merugikan politik Melayu-Islam.
“Justeru, satu lawan satu harus dijadikan agenda utama di Pulau Pinang dalam PRU15 kali ini.
“Islam menyatukan ummah merupakan slogan yang wajar digalas dan didokong oleh semua penyokong serta pendukung Pas agar usaha menyatukan parti-parti politik Melayu dapat dijayakan selari dengan syariat dan dasar parti.
“Penyatuan ummah ini penting serta memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat agar pemerintahan DAP di Pulau Pinang dapat digoyahkan dan kepentingan Melayu-Islam di sini tidak dinafi dan dianaktirikan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Pas Pulau Pinang meminta semua pihak mengetepikan kepentingan peribadi dalam PRU-15 dan memastikan undi Melayu-Islam dapat disatukan demi kesejahteraan serta keharmonian rakyat. – MalaysiaGazette