Izudin menjadikan kawasan atas bumbung rumahnya sebagai kawasan penanaman nanas di Kuantan, Pahang.

KUANTAN –  Seorang usahawan pelancongan berjaya membuktikan walaupun bukan dalam bidang pertanian namun usaha menanam pokok nanas kini mula membuahkan hasil.

Lebih menarik, beliau menjadikan kawasan atas bumbung rumahnya sebagai kawasan menanam nanas.

Hasilnya kini sebanyak 114 pokok nanas jenis MD2 sedang membesar dan hanya menunggu untuk dipetik pada Disember nanti setelah ia ditanam sejak Oktober tahun lalu menggunakan polibeg.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Springvale Residences P7 Kota SAS, Izudin Muhamad Amin, langkah menanam pokok nanas di atas bumbung antara lain bagi menyahut seruan kerajaan melalui Program Pertanian Bandar.

Malah, katanya, ia sebagai langkah menangani pelbagai perbelanjaan harian yang kian bertambah berikutan kenaikan harga barangan.

“Mulanya saya terfikir apa lagi perlu dilakukan bagi menambah pendapatan kerana inflasi mula terasa. Atas nasihat rakan-rakan, mereka syorkan saya bercucuk tanam di atas bumbung.

“Memang saya langsung tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam pertaniaan. Namun saya belajar dari rakan-rakan dan juga melalui internet.

“Akhirnya saya pilih nanas sebagai tanaman untuk menambah pendapatan,” katanya.

Menurutnya, sebagai usahawan pelancongan beliau tidak boleh mengharapkan hanya satu bidang sahaja memandang orang kini kian kurang melancong sejak negara dan dunia dilanda Covid-19 selain inflasi.

Izudin memilih nanas kerana tanaman tersebut mudah diselenggara dan dijaga serta tidak memerlukan untuk disiram sepanjang masa.

Katanya, tanaman nanas juga memerlukan pancaran sinar matahari, namun jika terlalu panas hingga tiga atau empat hari, barulah langkah menyiramnya dilakukan.

Jelasnya, yang penting tanaman nanas itu memerlukan penjagaan dari segi baja dan campuran tanah.

“Selain bagi menambah hasil, langkah menanam nanas di atas bumbung rumah ini juga sebagai riadah dan hilangkan tekanan,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Izudin berkata, nanas MD2 juga mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan penduduk selain rasanya yang manis dan penawaran harga yang tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast