Nik Saiful Adli (kiri) menyampaikan CCTV kepada Mahussin.

KOTA BHARU – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala Melor dekat sini mengambil inisiatif menyediakan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah menjadikan sekolah tempat selamat untuk murid.

Yang Dipertuanya, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, kedudukan sekolah berhampiran jalan utama yang sibuk memberi risiko apabila kenderaan mengambil dan menurunkan murid bebas keluar masuk.

Keadaan itu, katanya, memberi risiko keselamatan kepada murid yang menunggu berdekatan pagar sekolah.

“Hampir setiap tahun juga berlaku kemalangan di jalan raya hadapan sekolah ini termasuk melibatkan kematian.

“Sebagai permulaan, beberapa CCTV diletakkan di hadapan sekolah, laluan keluar masuk dan tempat menunggu murid,” katanya pada majlis penyampaian CCTV selepas mesyuarat Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG kali pertama hari ini.

CCTV sumbangan peribadi Yang Dipertua PIBG itu disampaikan kepada Guru Besar SK Padang Kala, Mahussin Daud.

Menurut Nik Saiful Adli, PIBG juga cuba mendapatkan sumbangan bagi menambah bilangan kamera itu bagi pemantauan keselamatan murid di setiap kawasan berisiko dalam sekolah.

Sementara itu, Mahussin berkata, pemasangan CCTV itu bukan sahaja akan membantu memantau keselamatan murid, tetapi turut membantu menjaga keselamatan harta benda dan memantau pergerakan keluar masuk sekolah. – MalaysiaGazette