Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di mahkamah bagi menghadiri prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kehadiran Datuk Seri Najib Razak di mahkamah, di sini, bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus mendapat perhatian orang ramai.

Salah seorang individu yang ditemui di pekarangan kompleks Mahkamah Jalan Duta berkata, beliau tiba seawal 7.45 pagiuntuk melihat kelibat bekas Perdana Menteri itu.

“Apapun beliau Perdana Menteri banyak berjasa, saya tidak setuju dengan perbuatan rasuah yang didakwa telah dilakukan olehnya, tapi sebagai pemimpin pada saya beliau berjasa. Saya cuma mahu melambai kepadanya. Itu sahaja,” katanya.

Najib tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan menaiki kenderaan jenis kenderaan utiliti sukan berwarna hitam yang diiringi pegawai polis dan penjara.

Beliau terus dibawa ke bilik saksi sementara menunggu prosiding meminda laporan audit 1MDB yang sedang dihadapi bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Sejurus selepas itu, kelihatan Datin Seri Rosmah Mansor tiba di mahkamah sebelum naik ke tingkat 5 di mana prosiding audit 1MDB akan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohammed Zaini Mazlan.

Sepuluh minit selepas itu, anak Najib, Datuk Mohd Nizar tiba bagi mengikuti prosiding tersebut.

Najib dan Arul Kanda berdepan dengan tuduhan meminda laporan audir 1MDB.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan ketika itu dalam mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda pula dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan.

Atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette