Para penerjun tempatan bergambar bersama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (tiga dari kiri), Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (tengah), Jamaluddin Ismail (Tiga dari kanan) dan Pengarah Urusan Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad (dua dari kanan) di Menara Kuantan 188 hari ini.

KUANTAN – Menara Kuantan 188 bakal menyajikan persembahan 65 terjunan base dari aras 104 meter oleh penerjun antarabangsa dan tempatan menjelang ambang merdeka 30 Ogos ini.

Menurut Pengarah Urusan Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad, terjunan secara bergilir-gilir itu akan dilakukan oleh 18 penerjun dari Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia dan tempatan.

“Mereka akan buat terjunan dengan membawa bendera Kuantan 188, Bendera negeri Pahang dan tentunya Jalur Gemilang sebagai simbolik 65 tahun kemerdekaan” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Kuantan 188 International Extreme Challenge (KIEC) dan Pesta Kuantan 188 hari ini oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Senator Datuk Seri Ti Lian Ker di Menara Kuantan 188 hari ini.

Pengarah Urusan Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad

“Lebih menarik, penerjun tertua di Malaysia iaitu Jamaluddin Ismail, 67, yang berasal dari Mentakab akan turut serta membuat terjunan pada hari tersebut,” tambahnya.

Mengulas mengenai KIEC, Zulkifli berkata, acara tersebut mendapat sokongan penuh KBS dan Exco Belia dan Sukan Pahang kerana seiring dengan matlamat untuk mengangkat sukan ekstrem di negeri ini ke peringkat antarabangsa.

Program yang akan berlangsung pada 27 Ogos hingga 9 September depan itu katanya akan menjadi titik permulaan untuk mempromosikan sukan “outdoor and adventure” di menara kedua tertinggi di negara itu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (Kiri) dan penerjun tertua di Malaysia, Jamaluddin Ismail, 67

“Walau hanya peserta yang mempunyai lesen terjunan base yang layak untuk menyertainya, terdapat pelbagai aktiviti dan sukan lain yang boleh pengunjung sertai seperti Paintball, Drop Zone, Aerobik, Senaman Kick Boxing, dan zon ber’Hammock’,” kata Zulkifli.

Terdapat juga tapak jualan dan pameran untuk peniaga tempatan berniaga di samping aktiviti santai untuk kanak-kanak seperti Zipline, “Face Painting”, aktiviti kraf dan lukisan karikatur.

Sementara itu, Pesta 188 akan diadakan pada 3 September untuk meraikan sambutan Hari Keputeraan Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Bagi memeriahkan program, satu konsert istimewa turut diadakan dengan barisan artis terkenal tanah air seperti Roxanne Ng, Raihan, Ara Johari, Sandhy Sondoro, Aina Abdul, Joe Flizzow dan Man Bai.

“Tiket konsert akan dijual melalui platform berteknologi AI iaitu Go Tifi, yang membolehkan penggembara untuk merancang perjalanan mereka di seluruh Malaysia dengan membeli tiket acara dan baucer restoran,” jelas Zulkifli.

Terdapat empat kategori tiket yang boleh didapati iaitu, VIP (RM188), CAT 1 (RM138), CAT 2 (RM88) dan CAT 3 (RM58).

“Bagi pemegang tiket VIP, mereka akan diberikan pas istimewa untuk menghadiri sesi latihan terbuka, yang akan diadakan sehari sebelum konsert berlangsung,” katanya.

Selain persembahan artis, difahamkan penonton juga akan dihidangkan dengan persembahan tarian tradisional, persembahan unjuran pemetaan (Projek Mapping) dan bunga api.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast