Suspek mabuk merosakkan kereta abang sebelum meloloskan diri sedang dicari polis dan usaha mengesan dipergiatkan.Ihsan IPD Sentul,

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan terkejut apabila kereta rosak teruk dipercayai perbuatan khianat adik kandungnya sendiri.

Insiden itu dilaporkan berlaku di tempat parkir kereta di Flat Sri Perak, Sentul semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada Khamis lebih kurang pukul 9.11 malam pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki mengenai insiden tersebut.

“Menurut pengadu dia mendapati cermin kereta miliknya telah dipecahkan oleh adiknya yang berada dalam keadaan mabuk di kawasan parkir Flat Sri Perak, Sentul.

“Siasatan polis di lokasi selepas bergegas bertindak atas aduan mendapati kejadian tersebut berlaku semalam jam 5.17 petang.

“Suspek seorang lelaki berusia 24 tahun merupakan adik kepada pengadu memecahkan cermin kereta dengan membaling objek dipercayai batu.

“Selain itu, suspek juga telah mematahkan pemegang pintu kereta dan mencabut bilah penggilap cermin (wiper) hadapan kereta tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis telah membuka kertas siasatan dan menyiasat kes di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

“Kini pihak polis sedang dalam usaha untuk mengesan suspek berusia 24 tahun yang dipercayai lari menghilangkan diri daripada dikesan polis.

Terdahulu,video berkaitan insiden itu berdurasi selama satu minit 25 saat, tular dipautan

Pengamatan MalaysiaGazette terhadap pautan itu mendapati seorang lelaki berkemeja hitam dan berseluar jean biru berlegar keliling kereta milik abang sebelum bertindak  merosakkannya. -MalaysiaGazette