Suspek (depan, kanan) dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam hari ini untuk mendapatkan perintah lanjutan reman.

BUKIT MERTAJAM – Reman terhadap remaja perempuan bawah umur serta kekasihnya yang terlibat dalam kes culik bayi perempuan berusia sembilan bulan pada Selasa lalu disambung tiga hari lagi bermula esok hingga 30 Ogos ini.

Perintah lanjutan reman sehingga Selasa depan  terhadap dua suspek suspek itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Bukit Mertajam, Muhamad Firdaus Abdul Wahab bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung kes tersebut di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Terdahulu hanya suspek lelaki berusia 18 tahun yang memakai baju lokap itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini dengan menaiki trak polis kira-kira pukul 9.35 pagi.

Manakala reman terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun itu dilakukan menerusi panggilan video susulan dia kini sedang menerima rawatan akibat kecederaan di bahagian kaki di sebuah hospital kerajaan.

Sementara itu, peguam, K. Saravana Kumar berkata, dia mewakili kesemua lima suspek  terlibat dalam kes tersebut.

Saravana Kumar (kiri).

Jelasnya, tiga lagi individu iaitu masing-masing rakan, ibu serta bapa tiri kepada kekasih suspek utama itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Lanjutan reman dikeluarkan terhadap dua orang sahaja iaitu remaja bawah umur serta kekasihannya bagi melengkapkan siasatan pihak polis.

“Saya minta anak guam memberikan kerjasama penuh dalam siasatan polis memandangkan kes ini memberi impak kepada komuniti masyarakat,” katanya ketika ditemui di hari ini.

ARTIKEL BERKIATAN

Remaja 14 tahun antara lima direman bantu siasatan culik bayi

MalaysiaGazette pada Rabu lalu melaporkan, lima suspek direman selama empat hari bermula 24 Ogos hingga hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah selepas ditahan terlibat dalam kes penculikan bayi kira-kira jam 11.50  malam Selasa lalu.

Pada Khamis lalu, Polis Pulau Pinang menegaskan tiada elemen sindiket dikenal pasti setakat ini membabitkan kes culik bayi perempuan berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri Taman Pauh Perai.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, berdasarkan pengakuan suspek utama berusia 14 tahun itu, dia menyukai bayi tersebut kerana comel serta berbadan gempal menjadi punca dia melarikannya.

Tiada elemen sindiket dalam kes bayi dilarikan

Jelas beliau, berdasarkan siasatan tiada sebarang transaksi jual beli bayi dilakukan kesemua suspek namun motif kejadian serta siasatan mengenai dakwaan sindiket penculikan tetap dijalankan oleh pihak polis. – MalaysiaGazette