GUA MUSANG – Kira-kira 32 pekebun di Kampung Pulau Setelu di sini mengalami kerugian ribuan ringgit selepas kawasan tanaman getah, kelapa sawit, pisang dan buah-buahan mereka musnah angkara seekor gajah liar sejak Jumaat lepas.
Seorang pekebun Mulim Ahmad, 56, berkata, kehadiran gajah tersebut menimbulkan kegusaran dalam kalangan pekebun untuk keluar bekerja kerana takut akan terserempak haiwan itu.
“Sebelum ini hanya babi hutan yang selalu menimbulkan masalah apabila memusnahkan pelbagai jenis tanaman penduduk.
“Kini gajah pula datang mengganggu kebun-kebun penduduk, malah 30 anak sawit yang saya tanam baru enam bulan dirosakkan gajah tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Seorang lagi pekebun, Salamah Hamad, 55, berkata dia mengalami kerugian apabila 100 pokok pisang dan kelapa sawitnya dirosakkan gajah liar tersebut.
“Saya tinggal di kampung ini sudah lebih 50 tahun, kejadian ini pertama kali berlaku.
“Penduduk sudah membuat laporan kepada Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) kami harap gajah itu dapat ditangkap secepat mungkin dan dipindahkan ke habitat yang sesuai secepat mungkin bagi mengelak kejadian yang tidak diingini,” katanya. – BERNAMA