PEKAN – Tiga sahabat dari suku Jakun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang remaja perempuan dari suku sama berusia 14 tahun pada 20 Ogos lalu.
Tertuduh, Rosli Bakar, 29; Helmat, 22 dan Murad Ahmad, 26 dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 11.15 malam sehingga 7 pagi di hutan simpan kawasan perkuburan lama Bukit Ibam, Muadzam Shah.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dari ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai buruh kampung itu setelah pertuduhan dibacakan Majistret Wahidah Zainal Abidin pagi ini.
Artikel berkaitan:
- Gadis remaja Orang Asli ditemui mati dalam semak
- Tiga ditahan kes kematian remaja perempuan Orang Asli
Pada 23 Ogos lalu, mayat remaja perempuan berusia 14 tahun itu ditemukan di kawasan lereng bukit semak kira-kira 1.5 kilometer dari jalan utama dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala kira-kira jam 2.45 petang oleh salah seorang ahli keluarganya.
Susulan itu, polis Rompin telah menahan tiga lelaki di Bukit Ibam pada Isnin bagi membantu siasatan.
Difahamkan, mangsa mengenali ketiga-tiga suspek di mana salah seorang daripada mereka iaitu Helmat merupakan abang saudara kepada mangsa.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tuan Lokman Halim Mohamad Usari manakala ketiga-tiga suspek diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.
Pertuduhan dibacakan di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan terbabit, Majistret Wahidah Zainal Abidin menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes berserta laporan kimia.-MalaysiaGazette
Artikel berkaitan