Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan memberikan keterangan kepada polis berhubung laporan yang dibuat mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS).

Beliau akan hadir di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul pukul 3 petang ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Rafizi menerusi posting terbaharu beliau di Facebook.

“Saya harap pihak polis juga bertindak secepat mungkin (seperti ini) untuk menyiasat laporan yang dibuat Sdr Akmal Nasir terhadap Latiff Ahmad mengenai pendedahan laporan forensik LCS yang menamakannya sebagai terbabit dalam kontrak-kontrak pertahanan,” katanya menerusi hantaran di laman sosial itu.

Rafizi turut menyertakan gambar surat arahan polis kepada beliau terhadap siasatan bagi kes itu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai memaklumkan kepada media, Rafizi akan dirakam keterangan berhubung perkara tersebut minggu depan.

Kata beliau, polis sememangnya mempunyai perancangan untuk berbuat demikian.

Khamis lalu, media melaporkan Rafizi sedia dipanggil polis susulan laporan yang dibuat berkaitan dakwaannya mengenai pembabitan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam projek LCS.

Rafizi turut mempersoalkan mengapa Abd Latiff belum dipanggil polis untuk memberi keterangan walaupun laporan mengenainya telah dibuat Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum ini. – MalaysiaGazette

LCS: Rafizi dipanggil beri keterangan minggu depan