Penyokong yang hadir sambil mengibarkan bendera Pas di Pelancaran Jentera Pilihanraya Pas Pusat pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Perebutan kuasa pimpinan negara sejak tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 bakal menjadi faktor penolakan anak muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Perwakilan Pas Kelantan, Mohd Kamal Mohamed berkata, Pas perlu mengambil peluang ini untuk memenangkan parti itu dengan menawarkan politik penyelesaian dan jauh daripada perebutan kuasa.

“Anak muda muak dengan proses perebutan kuasa dalam kalangan pimpinan negara. Inilah minda anak muda suci bersih yang perlu kita mewarnai dengan politik penyelesaian.

“Buktinya Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri telah mengakui kepimpinan Pas tidak meminta jawatan walaupun ada kelayakannya,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas ke-68, di Kompleks Pas Kedah hari ini.

Tambahnya, meskipun Pas tidak menuntut jawatan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini namun pimpinannya layak untuk menerajui negara termasuk menggalas jawatan Perdana Menteri.

“Pas mempunyai ramai pimpinan boleh diketengahkan sebagai pimpinan negara mahu pun Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sudah tiba masanya jentera Pas dilengkapkan dengan teknologi digital khususnya penguasaan Industri 4.0 dalam menyantuni 8.3 juta pengundi baharu pada pilihan raya akan datang.

“Hari ini kita perlu menguasai teknologi untuk menguasai minda anak-anak muda menjelang PRU-15,” katanya lagi. – MalaysiaGazette