Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas tidak pernah meminggirkan UMNO selepas memilih untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) walaupun berlaku ketidaktentuan dalam Muafakat Nasional (MN).

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, Pas masih konsisten memperkukuhkan permuafakatan ummah termasuk MN meskipun parti Islam itu kerap kali disindir kerana ‘main dua kolam’.

“Wartawan selalu tanya, (pilih) UMNO atau Bersatu? Tak, kita pilih kedua-dua.

“Itu naratif kami, biar rakyat menilai walaupun orang mencerca dan perli sekali pun, kita tetap menyatakan soal perpaduan ini penting.

“Kalau berlaku perpecahan, keputusan dapat dilihat pada PRU-14 lepas. Kita tak nak mengulanginya,” kata ketika berucap pada Ijtimak Jentera Pilihan Raya Pas sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah malam tadi.

Turut hadir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya.

Dalam pada itu, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, Pas terus berpolitik dengan memikirkan masa hadapan generasi akan datang.

“Kita berpolitik masa depan orang lain, masa depan cucu kita, bukan masa depan kita.

“Kalau kita duduk bercakap perebutan kuasa, jawatan dan kepentingan kita, apa akan jadi kepada generasi anak cucu kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast