Anthony Loke SOSMA GE15 UMNO agenda
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook tidak gentar kemungkinan berdepan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP itu berkata, beliau bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran dalam perjuangan politik.

“Saya tetap bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Seremban dalam PRU15 walaupun berhadapan dengan Khairy atau sesiapa pun yang dicalonkan oleh pihak lawan.

“Biarlah rakyat dan pengundi di Parlimen Seremban menilai dan memutuskan sama ada saya terus layak mewakili kepentingan dan suara mereka di Dewan Rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengulas tentang kemungkinan Khairy bertanding di Port Dickson selepas beliau mengumumkan kesediaan memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mempertahankan penguasaan BN di kerusi Parlimen Rembau.

Semalam, Khairy menyatakan beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan parti berhubung pencalonannya pada PRU15.

Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin pula berharap agar BN meletakkan Khairy untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban.

Anthony turut menganggap Khairy sebagai tokoh politik yang berkaliber dan menjadi lawan yang kuat di mana sahaja beliau bertanding.

“Sekiranya benar beliau bertanding di Parlimen Seremban, maka persaingan ini amatlah sengit dan akan menjadi antara kerusi yang paling ‘panas’ dalam PRU-15,” katanya. – MalaysiaGazette