khairy jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mempunyai karisma yang diperlukan dalam menjayakan misi mengembalikan kerusi Parlimen Port Dickson ke pangkuan Barisan Nasional (BN).

Ketua MIC Bahagian Port Dickson, Datuk M. Veloo yakin Ahli Parlimen Rembau itu mampu menebus kekalahan BN selama tiga penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Malah beliau percaya Khairy berupaya menewaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Presiden PKR itu mempertahankan kerusi yang disandangnya itu pada PRU-15 kelak.

“Memang dari dahulu Port Dickson adalah kerusi tradisi MIC tetapi selepas kalah tiga PRU berturut-turut, kali ini kita mahu BN menang.

“Jika pucuk pimpinan BN mahu mencalonkan Khairy di kerusi Parlimen Port Dickson, kami sangat alu-alukan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Veloo mengulas tentang kemungkinan Khairy bertanding di Port Dickson selepas beliau mengumumkan kesediaan memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mempertahankan penguasaan BN di kerusi Parlimen Rembau.

M Veloo
M. Veloo

Semalam, Khairy turut menyatakan kesediaan menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan BN berhubung pencalonannya pada PRU-15.

Bagaimanapun, Veloo melihat Pakatan Harapan (PH) akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan Anwar di kerusi Parlimen Port Dickson sekali gus memberi cabaran getir kepada Khairy atau sesiapa sahaja yang bakal dicalonkan BN.

“Anwar juga akan bertanding sebagai calon Perdana Menteri PH sekiranya mereka menang PRU-15. Kemungkinan untuk kalah itu memang ada dan Khairy perlu berdepan risiko itu,” jelasnya.

Terdapat desas-desus Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bakal bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson manakala Anwar mungkin berhijrah ke kawasan lain.

Namun, setakat ini, Veloo berkata, MIC dan BN di Port Dickson membuat persediaan untuk membantu kemenangan calon parti menentang Anwar.

Dari sudut positif, beliau memberitahu, pengundi-pengundi di Port Dickson mahu BN kembali di kerusi Parlimen tersebut dan faktor itu memberi kelebihan kepada Khairy.

Veloo menjelaskan, peluang calon BN dari UMNO untuk menang adalah lebih besar memandangkan kira-kira 47 peratus pengundi di Port Dickson terdiri daripada kaum Melayu berbanding 30 peratus kaum Cina, 20 peratus kaum India dan tiga peratus kaum lain.

“Rakyat juga sudah mengenali Khairy sebagai pemimpin harapan negara untuk masa hadapan,” jelasnya.

Pada masa yang sama, menurut beliau, MIC Bahagian Port Dickson menyerahkan kepada presiden parti, Tan Sri SA Vigneswaran untuk berunding dengan pucuk pimpinan BN berhubung soal calon di kerusi Parlimen berkenaan.

“Misi kita adalah mahu menang. Sesiapa sahaja yang pucuk pimpinan calonkan, kita akan sokong,” katanya. – MalaysiaGazette