Zuraida (tengah) sempena Jelajah Agrikomoditi Keluarga Bersama Sektor Huluan Agrikomoditi Koko dan Lada di Felda Inas, Kulai, Johor hari ini.

KULAI – Pekebun kecil disarankan mengambil peluang melakukan penanaman integrasi untuk meningkatkan pendapatan masing-masing.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, penanaman itu boleh membabitkan tanaman seperti lada hitam, lada putih selain tanaman koko di ladang sedia ada.

Kata beliau, integrasi produk sampingan secara tidak langsung membolehkan golongan itu meningkatkan pendapatan memandangkan kedua-dua sektor melibatkan lada hitam dan koko kini mendapat permintaan tinggi di pasaran.

“Ini sebenarnya satu langkah bijak untuk kita semua meningkatkan eksport bahan mentah. Lebih penting kita perlu fokus untuk tingkatkan penglibatan penanam peringkat huluan kemudian baru kita dapat hasil peringkat hiliran dan dapat eskport mendatangkan hasil kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Jelajah Agrikomoditi Keluarga Bersama Sektor Huluan Agrikomoditi Koko dan Lada di Felda Inas di sini hari ini.

Zuraida berkata, komiditi koko dan lada bukan sahaja semakin mendapat tempat malah sebahagian jenama coklat terkenal antarabangsa seperti Govida juga turut mendapat sumber koko dari negara ini.

Tambahnya, untuk itu kerajaan telah mengehadkan pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit agar tidak melebihi 6.5 juta hektar dan sehingga kini seluas 5.8 juta hektar telah dibangunkan.

“Percaya kata saya, integrasi ini kalau tengok ladang sawit kita sudah 5.8 juta hektar (dibangunkan), jadi kalau sekali pun satu juta hektar kita gunakan sudah lumayan untuk dapat hasil koko, lada hitam dan lada putih,” katanya lagi.

Bagi merealisasikan hasrat itu, satu perbincangan akam dilakukan bersama syarikat besar seperti Felda, Sime Darby dan IOI Corporation Bhd  sebelum pelaksanaan projek terbabit.-MalaysiaGazette