Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebarang pemilihan semula kepimpinan PKR di 53 cabang.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Dr. Zaliha Mustafa berkata, hantaran tular di media sosial berkaitan perkara tersebut adalah palsu.

Menurut Zaliha, ada pihak sengaja menyebarkan hantaran berkenaan dengan tujuan untuk melakukan provokasi.

“Sejak beberapa hari kebelakangan ini saya telah menerima banyak panggilan dan pesanan ringkas dari anggota PKR dan rakan media, bertanyakan berkenaan 53 cabang PKR yang akan berdepan dengan pemilihan semula dalam masa yang tedekat.

“Saya ingin menyangkal dan menegaskan bahawa berita tersebut adalah berita palsu.

“Ia adalah rentetan dari sebuah “posting” di ruang media sosial yang saya sifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan sengaja dikeluarkan atas tujuan provokasi,” kata Zaliha dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, jika benar terdapat surat dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysian (RoS) berkenaan hal tersebut beliau akan dimakluman terlebih dahulu.

Beliau mengaskan, adalah mustahil selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR beliau tidak dimaklumkan telebih dahulu dari Pejabat Setiausaha Agung parti berhubung surat terbabit.

“Apatah lagi saya sendiri berada dalam Jawatankuasa yang menguruskan tentang beberapa hal yang ditimbulkan kepada ROS berkaitan dengan pemilihan parti baru-baru ini.

“Saya memohon supaya anggota PKR bertenang, tidak bertindak dengan sebarang spekulasi dan dinasihatkan untuk hanya menerima berita dari sumber yang sahih,” jelasnya.

Zaliha menegaskan, rata-rata anggota telah menerima keputusan rasmi pemilihan yang dikeluarkan dan Kongres Nasional PKR pada pertengahan Julai lepas.

Malah kongres tersebut juga berjalan lancar dan diteruskan seperti yang dikehendaki oleh Presiden dan pimpinan.

“Kerja-kerja di lapangan juga saya lihat semakin rancak dilaksanakan dalam persediaan berdepan dengan Pilihanraya Umum yang ke-15 yang dijangka berlaku tidak berapa lama lagi,” tambahnya.

Sebelum ini tular berita kononnya 53 cabang PKR berdepan dengan pemilihan semula.

Kebanyakan cabang terlibat adalah kawasan Selangor termasuk Gombak, Ampang.

Hantaran terbabit juga mendakwa pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut akan dibuat oleh RoS.

Sebelum ini PKR terpaksa melakukan audit forensik terhadap keputusan parti selepas beberapa pihak dalam parti melahirkan perasaan tidak puas hati.

Pemilihan PKR kali ini dilakukan secara hybrid di mana dua kaedah pengundian dilaksana iaitu secara fizikal dan undian atas talian.

Kaedah ini mengundang lebih seribu aduan salahlaku selepas keputusan tidak rasmi diumumkan.- MalaysiaGazette