Dr. Sathia Prakash Nadarajan

SHAH ALAM – Masih ramai masyarakat India didakwa terpinggir dan mundur dan dibelenggu kemiskinan walaupun sudah lama negara ini mencapai kemerdekaan.

Malah majoriti komuniti ketiga terbesar di negara itu berterusan berada di tangga B40 dan M40 sehingga hari ini.

Itu antara luahan Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan dalam program Perhimpunan Masyarakat India anjuran PKR di sini hari ini.

“Saya merupakan seorang doktor dan memiliki karier yang cemerlang namun saya bertindak menyertai politik bukan hanya kerana saya hendak berkongsi segalanya bersama-sama sebaliknya juga ingin berjuang untuk masyarakat kita.

“Ingin saya ceritakan sesuatu yang benar-benar telah berlaku kepada saya beberapa tahun dahulu, tujuh lapan tahun lepas ketika saya cuba memohon bantuan dengan membawa kertas cadangan perbinaan hospital bagi kegunaan serta kepentingan masyarakat setempat di Hulu Selangor.

“Agensi kerajaan yang telah diamanahkan kononnya untuk mengangkat sosio ekonomi masyarakat itu sebenarnya telah meminta saya memberikan mereka RM5 juta kepada mereka jika saya mahu merealisasikan pembinaan hospital itu.

“Pelik juga saya, jika saya ada RM5 juta, mengapa saya hendak mohon bantuan kerajaan? Mengapa pula saya kena beri mereka duit sebanyak itu?

“Itulah antara sebab mengapa saya muak dengan omong-omong kosong serta slogan-slogan retorik kononnya begitu banyak bantuan, dana telah diperuntukkan bagi meningkatkan taraf kemudian dan sebagainya,” katanya pada perhimpunan bertajuk PKR Peduli dengan Isu-Isu Masyarakat India itu hari ini.

Dr. Sathia yang juga pengasas Kumpulan SP Care dengan  lebih 13 klinik beroperasi terutama di kawasan-kawasan pedalaman di Selangor menyifatkan kedudukan masyarakat India sebenarnya agak menyedihkan.

“Kita semua perlu berhenti mengadu domba atau berpeluk tubuh. Kita perlu bersatu dan bangkit bawa perubahan yang kita asyik harapkan ini, gunakan peluang untuk benar-benar pilih kerajaan dan pemimpin telus mahu menjaga rakyat dengan telus.

“Jangan asyik bercakap atau soal apa yang telah kita (Pakatan Harapan) buat selama 22 bulan menerajui negara bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tidak pernah diberikan peluang itu.

“Jika ya, kita tidak perlu jawab lagi soalan-soalan retorik kamu. Berpuluh-puluh tahun kamu tidak pernah dapat selesaikan apa-apa,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast