PUTRAJAYA – Teka-teki sama ada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akan dilantik menjadi duta terjawab hari ini apabila nama Ahli Parlimen Pasir Salak itu tiada dalam senarai 24 lantikan Pesuruhjaya dan Duta Besar Malaysia ke negara asing.
Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kesemua lantikan itu adalah dalam kalangan pegawai diplomatik dan tiada lantikan ahli politik.
“Seramai 24 calon Pesuruhjaya Tinggi dan Duta Malaysia termasuk Indonesia yang sudah pun dikemukakan untuk kelulusan dan sekarang berada di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk tapisan akhir sebelum nama-nama mereka itu dihantar ke negara-negara tempat mereka bakal berkhidmat
“24 calon ini tidak termasuk ke Amerika Syarikat dan semuanya adalah dalam kalangan Pegawai Diplomatik. itu jawapan yang sangat berpuitis,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Buku Himpunan Genta Rasa Jufirti Joha di kementeriannya, hari ini.
Jelas Saifuddin, senarai nama akhir Pesuruhjaya Tinggi dan Duta Malaysia itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Ditanya mengenai kedudukan Tajuddin yang dikhabarkan akan dilantik sebagai Duta Malaysia ke Indonesia, Saifuddin hanya tersenyum.
Pada Jun lalu, Tajuddin sendiri mengesahkan akan menerima watikah pelantikannya sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia.
Jawatan duta besar ke Indonesia kosong sejak Datuk Zainal Abidin Bakar, yang dilantik pada 21 Mac 2019 bersara pada 4 April 2021.
Bagaimanapun, spekulasi pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Indonesia mengundang kritikan daripada pelbagai pihak kerana tindakannya menyerang Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka. – MalaysiaGazette