Salah seorang daripada enam individu direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 17 September 2022 bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 sekitar 2016 hingga tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Enam individu, termasuk empat wanita, direman selama enam hari bermula hari ini hingga 17 September ini bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 antara 2016 hingga tahun lalu.

Kesemua suspek dibawa Mahkamah Majistret 2, Kompleks Mahkamah Shah Alam, pagi tadi dan perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali.

Semalam, keenam-enam suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kira-kira pada jam 5 petang ketika mereka hadir memberi keterangan.

Tiga suspek adalah ketua pegawai operasi, pengarah dan akauntan sebuah syarikat pembinaan.

Enam individu direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 sekitar 2016 hingga tahun lalu. – Foto Ihsan SPRM Selangor.

Mereka dipercayai berpakat untuk meluluskan pembayaran kepada dua syarikat yang terbabit dalam kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Sumber turut memaklumkan, projek pertama iaitu kerja-kerja menaik taraf saliran membabitkan nilai lebih RM250,000 manakala projek kedua melibatkan tebatan banjir berjumlah lebih RM600,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim yang mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette.

https://malaysiagazette.com/2022/09/12/tuntutan-palsu-rm900000-coo-syarikat-antara-6-ditahan-sprm/