Pasukan khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan kerajaan harus lihat segera kepada realiti kegelisahan rakyat.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – PKR menggesa supaya Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dibubarkan serta merta kerana didakwa tidak berkesan dalam menangani kenaikan kos sara hidup rakyat secara holistik.

Timbalan Ketua Penerangan parti itu, Chua Wei Kiat berkata, kerajaan perlu bertanggungjawab di atas kelemahan dan kegagalan pasukan tersebut.

“Biasanya budak “Intern” (pelatih) akan diberi waktu tiga bulan untuk membuktikan kemampuan diri dalam melaksanakan sesuatu tugas yang diberi, namun malangnya pasukan yang diketuai oleh Annuar Musa sejak akhir bulan Jun ini jelas gagal menjalankan tugas, maka dia tidak perlu bermain Tai Chi untuk menutup kegagalan beliau lagi.

“Selain itu, inflasi pada bulan Jun dan Julai 2022 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 3.4 dan 4.4 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Wei Kiat, Annuar sebelum ini pernah berkata bahawa pasukan yang diketuainya tidak terhad untuk menangani isu berkaitan harga barang sahaja tetapi usaha mengatasi inflasi secara keseluruhan.

Namun jelasnya, walaupun rakyat maklum bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) merupakan bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) namun ia adalah salah satu faktor peningkatan kos sara hidup, terutamanya kenaikan harga barang.

“Dalam waktu beberapa bulan ini, usaha yang dijalankan oleh Annuar lebih kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia, jaminan bekalan ayam bagi pengguna domestik yang mencukupi, serta sasarkan harga minyak masak turun.

“Bagi saya, program bekalan dan harga minyak masak adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, pasukan berkenaan tidak memberi nilai tambah kepada rakyat.

“Hal ini juga membuktikan pasukan jihad pimpinan Annuar Musa tidak membawa sebarang nilai tambah kepada rakyat Malaysia yang terkesan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette