Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia meluluskan pengambilalihan perniagaan perbankan runcit dan kad kredit pengguna Citi di Malaysia oleh UOB Malaysia.

Berikutan kelulusan tersebut, UOB Malaysia dan Citi Malaysia akan memohon Perintah Letak Hak daripada Mahkamah Tinggi Malaya untuk memindahkan aset dan liabiliti perbankan pengguna Citi kepada UOB Malaysia.

Pengambilalihan ini dijangka selesai pada suku keempat 2022 selepas UOB dan Citigroup mengumumkan cadangan pengambilalihan ini pada 14 Januari 2022.

Selepas selesai pengambilalihan ini, semua perniagaan perbankan runcit dan kad kredit pengguna Citi Malaysia akan dipindahkan ke UOB Malaysia.

Malah, semua kakitangan perbankan pengguna Citi Malaysia yang berkaitan dan juga kakitangan sokongannya juga dijangka berpindah ke UOB Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, kelulusan ini menambahkan lagi keyakinan bank ini terhadap potensi jangka panjang negara.

”Pengambilalihan ini juga akan meningkatkan skala perniagaan runcit kami melalui portfolio dan ekosistem rakan kongsi yang diperluaskan.

”Selain itu, jangkauan UOB Malaysia kepada pelanggan akan diperkukuh melalui rangkaian cawangan dan titik sentuh digital yang lebih luas. Kami mengalu-alukan kedatangan rakan sekerja Citi ke keluarga UOB,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Citi Malaysia, Usman Ahmed berkata, bank itu akan terus menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan sehingga proses selebihnya dilengkapkan.

Jelasnya, tarikh pemindahan yang sah akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” ujarnya sambil menambah Citi kekal komited kepada Malaysia dan akan melabur lebih banyak lagi dalam francais pelanggan institusi terkemuka bagi membantu pelanggan di Malaysia berkembang di dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast