KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat di negara ini.

Katanya, tanggal 16 Sptember merupakan tarikh keramat yang wajar dijadikan titik tolak untuk menyemarakkan lagi perpaduan berteraskan nilai Keluarga Malaysia, keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

“Semoga Keluarga Malaysia terus menjunjung semangat integrasi nasional, kesetiaan kepada raja dan negara dan semoga Malaysia terus dipelihara dalam keamanan dan kemakmuran,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Sambutan Hari Malaysia pada hari ini dilakukan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka.

Ia berikutan tapak berkenaan menjadi lokasi Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan dengan rasminya pada tarikh 31 Ogos 1957.

Sambutan Hari Malaysia 2022 di Melaka juga mengangkat kumpulan etnik di negeri berkenaan yang terdiri daripada Baba dan Nyonya, Sikh, Chetti, Portugis malah Orang Asli, sekali gus menunjukkan semangat perpaduan rakyat yang menjadi lambang kepada Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette