SEREMBAN – Pucuk pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) perlu memastikan Pakatan Harapan (PH) memberikan kerusi Parlimen kepada Pemuda dan Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Perkara itu dibangkitkan Perwakilan Melaka, Ahmad Azri Abdullah yang berharap, pertimbangan mengenai perkara itu turut diberikan kepada Wanita Muda Nasional (Warda).
“Amanah perlu pastikan ada kerusi Pemuda, AWAN dan Warda di Parlimen terlebih dahulu sebelum jalinkan kerjasama dengan rakan-rakan lain di luar Pakatan Harapan,” katanya ketika membahaskan pidato presiden pada Konvensyen Nasional 2022, Parti Amanah Negara (Amanah) di sini hari ini.
Sebelum ini, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang dipimpin Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman bersetuju menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai parti dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU-15.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz apabila berkata, MUDA akan memberi fokus bagi mempertahankan kerusi Parlimen yang disandang Syed Saddiq.
MUDA turut memutuskan untuk bertanding sekurang-kurangnya di 15 kerusi Parlimen termasuk Sabah dan Sarawak pada pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun hari ini, Presiden Amanah, Mohamad Sabu memaklumkan, pimpinan parti Amanah akan mempertimbangkan kerusi-kerusi Parlimen untuk diberikan kepada sayap-sayap parti pimpinannya.
Sementara itu, Ahmad Azri turut mempersoalkan peranan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini.
Katanya, penubuhan pasukan itu seolah-olah tidak menampakkan keberkesanan apabila masalah yang sama tetap berlaku.
“Saya nak tanya, semenjak penubuhan pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini apa hasilnya? Harga barang naik, ekonomi jatuh, nilai ringgit merudum,” ujarnya.
Pada Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan satu Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Pasukan khas yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa itu berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai.
Pasukan tersebut turut merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan. – MalaysiaGazette