Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

DENGAN tidak semena-mena, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘mencuit’ Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Katanya, Perdana Menteri gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu mungkin ada pertimbangan yang tersendiri ketika melontarkan kritikan itu. Cuma agak menghairankan apabila beliau seolah-olah cenderung mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin.

Jika dilihat keadaan PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Muhyiddin sekarang, mereka belum berada dalam posisi terbaik untuk menghadapi PRU-15. Hakikat itu dibuktikan dalam dua pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

Pada PRN Johor, PN mencatatkan prestasi yang sangat buruk apabila hanya memenangi tiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi. Bersatu menang dua kerusi manakala Pas satu kerusi.

Malah, PN dan Bersatu gagal mempertahankan kerusi DUN Gambir yang dimenangi oleh Muhyiddin pada PRU-14. Selain itu, kerusi DUN Bukit Pasir yang terletak dalam kawasan Parlimen Pagoh yang diwakili Muhyiddin juga terlepas ke tangan Barisan Nasional (BN).

Begitu juga dengan PRN Melaka. PN cuma menang dua daripada 28 kerusi DUN yang ditandingi dan kedua-duanya diwakili calon-calon Bersatu. Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen sendiri gagal mempertahankan kerusi DUN Paya Rumput.

Memang benar, Gabungan Rakyat Sabah (Sabah) yang diketuai Bersatu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN Sabah. Namun, kejayaan itu dapat dicapai kerana PN tidak bertembung dengan BN.

Memandangkan BN dan UMNO sudah membulatkan tekad menolak kerjasama politik dengan PN dan Bersatu, senario pertembungan pelbagai penjuru yang berlaku pada PRN Johor dan Melaka bakal berulang pada PRU-15.

Situasi sedemikian pasti tidak memberi sebarang kelebihan kepada PN dan Bersatu kerana mereka terpaksa berebut dengan Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) bagi meraih sokongan pengundi yang tidak memihak kepada BN dan UMNO.

Gagasan khemah besar pula masih belum nampak bayangnya kerana PH dan GTA enggan bekerjasama dengan Bersatu yang dianggap sebagai pengkhianat. Mereka masih belum dapat melupakan peristiwa pahit yang menyebabkan PH hanya mampu menguasai negara selama 22 bulan sahaja.

Walaupun bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendakwa rakyat memberi ‘markah lulus dengan baik’ kepada Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri dahulu, keputusan PRN Melaka dan Johor membuktikan sebaliknya.

Majoriti rakyat di kedua-dua negeri terbabit sudah hilang kepercayaan terhadap keupayaan PN mentadbir negara. Mereka dapat mengalami sendiri betapa peritnya kehidupan sepanjang 17 bulan pentadbiran PN.

Rata-rata mereka percaya krisis pandemik COVID-19 mungkin tidak seburuk itu sekiranya negara ditadbir oleh parti yang berpengalaman seperti BN. Mereka sedar bahawa BN dan UMNO juga ada kekurangan, tetapi seperti kata mereka: “Sekurang-kurangnya zaman BN dahulu, kami masih boleh cari makan.”

Kemungkinan besar para pengundi akan menunjukkan sikap yang serupa pada PRU-15 nanti. Jika itu yang berlaku, tidak mustahil PRU-15 akan menjadi titik penamat bagi PN dan Bersatu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki semalam telah melontarkan cabaran kepada Muhyiddin supaya ‘menekan butang’ sekiranya mahu PRU-15 diadakan segera. Beranikah Muhyiddin melakukannya? – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast