ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

KUANTAN – Seorang operator projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar pemandu sebuah van  di Jalan Kuantan – Sg Lembing di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Muhammad Azrie Azmi, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Siasatan awal mendapati mangsa dan pemandu van datang dari arah Sungai Lembing menghala ke Kuantan.

“Kejadian kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan iaitu motosikal dan van di Jalan Kuantan – Sg Lembing berhampiran Stesen Minyak Petronas Jalan Sg Lembing, Kuantan dalam kejadian jam 12.20 tengahari pada ini (Jumaat).

“Apabila pemandu van sampai di tempat kejadian, tiba-tiba mangsa telah melintas di hadapan pemandu van, namun kerana jarak terlalu dekat van tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa beralamat terakhir di Ajil, Terengganu yang mempunyai lesen memandu jenis B2, D, H itu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Siasatan juga mendapati kemalangan berpunca daripada  kecuaian penunggang motosikal yang melintas jalan utama untuk ke Sungai Lembing.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses bedah siasat yang akan dijalankan sejurus ujian calitan Covid-19 diperolehi.

Wan Mohd Zahari berkata kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette