Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos membawa tuala, berus gigi dan gayung mandi semasa hadir untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap kerajaan negeri Selangor yang gagal menangani gangguan bekalan air di luar pagar hadapan bangunan SUK Selangor, Shah Alam. foto AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Susulan tuntutan saman yang dihadapi Datuk Seri Jamal Md Yunos oleh wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) lebih RM600,000; satu Tabung Solidariti Bela Jamal bakal dilancarkan dalam satu majlis di Sekinchan, esok.

Pengerusi Gabungan Solidariti Anak Selangor (GSAS), Faizal Zakaria berkata, kempen kutipan dana tersebut sebagai tanda sokongan kepada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu yang begitu lantang memperjuangkan isu-isu rakyat.

“Sumbangan wang tunai itu akan digunakan untuk membiayai kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Jamal ketika ini, dianggarkan berjumlah kira-kira RM600,000.

“Ia termasuklah kes tuntutan saman Teresa Kok terhadap Datuk Seri Jamal kerana pendedahan kecuaian serta kelemahan pengurusan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) sehingga memungkinkan berlakunya penyelewengan dana awam.

“Beliau terhalang untuk melawan di peringkat Mahkamah Tinggi kerana kekangan Akta Rahsia Rasmi dan tidak mendapat peluang diwakili oleh peguam pilihan Datuk Seri Jamal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengerusi Gabungan Solidariti Anak Selangor (GSAS), Faizal Zakaria

Pada 18 September lalu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memfailkan notis kebankrapan terhadap Jamal kerana gagal membayar ganti rugi sebanyak RM351,479.45 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi susulan kemenangannya dalam saman fitnah ke atas sebelum ini.

Notis muflis itu difailkan peguam SN Nair & Partners terhadap Jamal kerana gagal mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi dalam saman fitnah yang memerintahkan Jamal membayar sejumlah RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM50,000 sebagai kos guaman kepada Teresa.

Sebelum ini, Teresa memfailkan saman fitnah terhadap Jamal pada 6 April 2017, kerana Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor itu menuduhnya menyeleweng RM2 juta YAWAS di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Selain Teresa, Jamal juga berhadapan dengan tuntutan Pengerusi Bersih 2.0, Marina Chin Abdullah kerana menentang dan menyekat propaganda Himpunan Haram Bersih sebelum ini.

“Pihak GSAS sangat yakin banyak pihak atau individu mempunyai kesedaran dalam semangat perjuangan ini sudi tampil membantu Datuk Seri Jamal.

“Ini kerana perjuangan beliau sebelum ini lebih kepada membongkarkan penyelewengan, membela hak rakyat dan memastikan ketelusan dalam tadbir urus kerajaan khususnya di Selangor.

Katanya lagi, Tabung Solidariti itu sebagai isyarat jelas bahawa setiap perjuangan memerlukan sokongan, kesepakatan dan perpaduan semua untuk terus melawan penyelewengan dan memperjuangkan isu-isu rakyat.

“GSAS menyeru orang ramai dan badan korporat untuk menyumbang kepada Tabung Solidariti ini supaya ia dapat sama membantu Datuk Seri Jamal untuk terus bersuara lantang.

“Ia demi meneruskan kesinambungan dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat khususnya di Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast