PUTRAJAYA – Parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan, sebaliknya perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memiliki hala tuju yang sama.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya PN tidak menunjukkan kesatuan, parti gabungan tersebut akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jelas beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ini kerana ahli-ahli parti tidak akan mendapat mesej bahawa parti mana yang perlu ditentang.
“Jangan Bersatu kata begini, Pas begini, Gerakan begini. Kalau tak tunjuk kesatuan, kita akan kalah sebab mesej di bawah tidak jelas, siapa musuh kita.
“Jadi kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini bahawa musuh utama kita adalah BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-6 Bersatu di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.
Bagaimanapun, tidak kelihatan mana-mana pemimpin Pas hadir pada sambutan berkenaan.
Mengulas lanjut, mengenai persiapan gabungan itu terutama berhubung pengagihan kerusi, Muhyiddin berkata, perkara tersebut masih dirundingkan. – MalaysiaGazette