KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengulangi ancaman akan ‘menghukum penjara’ pihak yang melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 ketika negara mengalami bencana banjir.
Rafizi berkata, beliau pernah memberikan amaran kepada UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 supaya mengetepikan Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyelesaikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kalau dia berani buat pilihan raya masa banjir buatlah. Kami menang bersedia tapi nanti kalau kalah dia kena masuk penjara jangan marah saya.
“Dulu masa 2018 dalam forum dengan pimpinan UMNO saya sebut dengan jelas kalau tidak ketepikan Najib dan selesaikan isu 1MDB UMNO akan kalah. Dia tidak dengar. UMNO kalah ada masuk penjara, ada yang mempunyai kes.
“Kali ini saya cakap benda yang sama kalau dia masih lagi berkeras mahu buat pilihan raya masa banjir, kalau UMNO kalah, Zahid nanti kena jangan marah pada saya. Sebab saya sudah sebut awal-awal,” kata Rafizi.
Dalam ceramah Rapat Mega Keadilan yang berlangsung pada 12 September lalu Rafizi mengeluarkan ancaman sekiranya PKR menang parti itu akan menghukum pihak yang melaksana PRU ketika banjir.
Timbalan Presiden PKR itu bercakap kepada media selepas menghadiri pelancaran kumpulan FIQIR.My iaitu sebuah kumpulan pemikir dalam kalangan anak muda yang akan aktif di media sosial membincang dan mengemukakan isu dan polisi negara.
Sementara itu Rafizi menolak dakwaan kononnya PKR takut berhadapan dengan PRU dan kerana itu pemimpin parti tersebut bersungguh-sungguh menjadikan banjir sebagai alasan supaya pilihan raya tidak diadakan tahun ini.
“Kita pernah masuk dalam pilihan raya dalam keadaan saya sendiri ada 14 kes. Dalam keadaan kalau salah sahaja polis tangkap. Kita pernah berceramah dalam keadaan perusuh daripada UMNO baling batu.
“Tak timbul soal takut. Takut masuk pilihan raya itu tidak pernah ada dalam kamus kami sebab kami tak sakau duit.
“Kalah menang tidak ada kesan kepada kami. Kalau kalah kami ada kehidupan, kita profesional dan teruskan. Kalau menang kita ada tanggungjawab untuk tadbir negara,” katanya.
Rafizi mendakwa pihak yang takut berhadapan dengan PRU-15 adalah PN dan BN kerana sebahagiannya ada kes dan sebahagian lagi baru merasa keistimewaan dan kedudukan.
Isu utama menurut Rafizi adalah kesombongan pihak berkenaan yang tidak mahu mendengar suara rakyat bahawa banjir adalah musibah dan ancaman terhadap negara.
Orang politik sepatutnya bersimpati dengan mangsa banjir yang memerlukan masa untuk pulih semula dari segi emosi dan ekonomi selepas mengalami kemusnahan harta benda.
Menurut Rafizi, lebih banyak UMNO dan BN meratip mahu PRU diadakan lebih besar peluang untuk PH menang. – MalaysiaGazette
Kes mahkamah yg digugurkan oleh Tommy Thomas kaa? haaa pi lah ko kaki penipu
Satu lg ..Rapiji ko kena menang PRU..kalau kau kalah, ancaman penjara akan menanti ko…masa tu tak de lg Tommy Thomas nak bebaskan kau…faham tak?