Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.- Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Bencana banjir yang berlaku di Johor baru-baru ini mendedahkan sifat munafik atau kepura-puraan pemimpin pembangkang yang gigih menggunakan isu banjir bagi menghalang pilihan raya umum (PRU) dibuat.

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan pemimpin pembangkang membantu mangsa banjir di beberapa kawasan di Johor jelas memperlihatkan mereka hanya pandai memanipulasi dan menghasut rakyat.

“Konon mandat tidak boleh diserah semula kepada rakyat sekarang kerana pembangkang mahu menggembleng tenaga bersama kerajaan menghadapi kemungkinan banjir besar.

“Ironinya semasa banjir kilat berlaku pembangkang tidak kelihatan, malah dalam kesibukan meneruskan kempen politik untuk menghasut kebencian bagi berdepan PRU-15.

“Berkempen ke negeri dan daerah-daerah membawa `formula auta’ terbaru meskipun tempoh kempen belum bermula, kembali menjaja fitnah penipuan seperti mereka lakukan pada PRU-14,” katanya.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa pemimpin pembangkang tidak turun membantu mangsa banjir termasuk di Parlimen Iskandar Puteri yang disandang oleh pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang.

Serentak itu, Presiden UMNO itu berkata, rakyat boleh membuat petisyen terhadap sikap ‘munafik’ pembangkang dalam pilihan raya nanti.

“Rakyat tidak perlu pun membuat petisyen untuk menyatakan enough is enough kepada pembangkang bahawa mereka tidak boleh menipu dan memperdaya sekali lagi.

“Rakyat sudah boleh membaca muslihat dan fitnah penipuan pembangkang yang membantah PRU-15 sekarang sebab memerlukan lebih masa sebagai `talian hayat’.

“Petisyen sebenar rakyat adalah menterjemahkan rasa meluat terhadap `kemunafikan’ pembangkang yang telah banyak merosakkan negara melalui peti undi,” katanya.

Dua hari lalu dalam satu kenyataan di media sosial, Onn Hafiz berkata, pemimpin pembangkang tidak turun ke Iskandar Puteri, Pulai dan Sri Gading yang dilanda banjir.

Beliau mendakwa Kit Siang, Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah) dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr. Sharuddin Md Salleh (Pejuang) juga tidak turun untuk membantu.

“Sehari dua ini, banjir juga telah berlaku di Parlimen Iskandar Puteri, Pulai dan Sri Gading namun kelibat ahli parlimen di kawasan-kawasan ini langsung tidak dirasai.

“Oleh itu, mungkin tidak menjadi masalah untuk PH dan pembangkang lain jika diadakan PRU semasa musim banjir.

“Mereka bukannya turun ke kawasan pun walaupun berlaku banjir. Biasanya masa kempen PRU barulah mereka akan menjelma,” kata Hafiz Onn.- MalaysiaGazette