Datum Jelatek

KUALA LUMPUR – Datum Jelatek diiktiraf Malaysia Book of Records untuk Jalur Gemilang terpanjang, sepanjang 147 kaki, dipasang di jambatan di tingkat 27 bangunan itu yang dikenali Sky Bridge.

Ketua Pegawai Eksekutif Datum Corporation Sdn. Bhd., Mohd Azmil Abd Shukor berkata, inisiatif itu merupakan satu simbolik bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kegembiraan hari ini adalah idea dalam menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65, jadi dengan Sky Bridge yang kita bina ini ia mampu dimanfaatkan dengan merentang Jalur Gemilang sebagai tanda kita bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Datum Corporation Sdn. Bhd., Mohd Azmil Abd Shukor (tengah) menerima sijil pengiktirafan hari ini daripada wakil Malaysia Book of Records di Residensi Datum Jelatek, Kuala Lumpur.

Tambah Mohd Azmil, pengiktirafan hari ini juga merupakan tanda penghargaan kepada pembeli unit kediaman tersebut yang menaruh kepercayaan kepada Datum Corp walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Sementara itu, Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Projek, Shah Faezal Sorparno berkata, pembinaan Sky Bridge memenuhi visi Datum Corp yang diberi kepercayaan melaksanakan projek ikonik itu.

“Datum Corp ditubuhkan sebagai memenuhi visi untuk mempunyai reka bentuk yang ikonik. Di negara kita ini tiada lagi Sky Ring Bridge yang mencantumkan empat bangunan kediaman seperti Datum Jelatek,” ujarnya.

Datum Corp yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan kondominium premium bermula pada harga RM750,000 dengan saiz 557 hingga 1,657 kaki persegi.

Pembinaan Datum Jelatek yang bermula 1 Ogos 2013 siap sepenuhnya pada 31 Mac lalu dengan menawarkan pelbagai kemudahan termasuk akses ke Stesen LRT Jelatek melalui jejambat khas.

Ruangan pusat beli-belah yang terdapat di Residensi Datum Jelatek iaitu Datum Mall di Kuala Lumpur yang akan dibuka secara rasmi hujung tahun ini.

Di bahagian bawah kediaman terdapat sebuah pusat beli-belah, Datum Mall, setinggi tiga tingkat dengan 140 lot kedai yang akan dibuka secara rasmi pada 26 November ini. – MalaysiaGazette