Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – DAP menyenaraikan tiga syarat yang perlu dilakukan oleh kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) boleh dilaksanakan.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP Syahredzan Johan berkata, perkara pertama kerajaan perlu memastikan persediaan bagi menghadapi bencana banjir dibuat.

Beliau mendakwa, beberapa insiden banjir yang berlaku tahun ini dan tahun lepas membuktikan kerajaan tidak bersedia menghadapi bencana tersebut.

“Penyelarasan pengurusan banjir perlu dilakukan sekarang dan aset siapsiaga banjir perlu disediakan lebih awal sebelum Parlimen dibubarkan.

“Sekiranya persediaan tidak dilakukan lebih awal malapetaka akan melanda rakyat.

“Kerana apabila Parlimen dibubarkan, walaupun ada Kerajaan Sementara fokus menteri-menteri ketika itu hanyalah kepada persediaan untuk pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan juga perlu menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dan negara sebelum membubarkan Parlimen.

Katanya, keadaan ekonomi negara dan kehidupan rakyat semakin buruk dengan kejatuhan nilai ringgit, peningkatan kos sara hidup dan harga barang.

Kenaikan kadar faedah serta masalah kekurangan pekerja yang teruk juga mendatangkan kesan terhadap ekonomi negara dan rakyat.

“Proses pilihan raya, pembentukan kerajaan baharu dan kemudiannya penggubalan serta pelaksanaan dasar baru yang dapat menyelesaikan masalah ekonomi pula akan memakan masa yang lama.

“Sedangkan rakyat sedang menderita ditambah pula dengan ramalan kemelesetan ekonomi pada tahun depan.

“Sebelum PRU dilaksanakan, kerajaan perlu selesaikan masalah ekonomi yang dihadapi serta menyediakan bantuan ekonomi dan kewangan sewajarnya kepada rakyat sekarang,” kata beliau.

Perkara ketiga adalah Kerajaan perlu memastian Undang-undang Anti Lompat Parti dikuatkuasakan di peringkat negeri.

Syahredzan berkata walaupun pindaan rang undang-undang terbabit telah diluluskan beberapa bulan yang lalu di peringkat Persekutuan namun pindaan yang sama belum dibuat di peringkat negeri.

“Kestabilan politik melalui undang-undang ini perlu diwujudkan di peringkat negeri untuk mengelakkan pergolakan politik yang merugikan rakyat di negeri-negeri,” katanya.

Syahredzan memberikan tiga syarat itu sebagai tindak balas terhadap kenyataan Ketua Pergerakan Pmuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menyenaraikan lima sebab kenapa pilihan raya perlu disegerakan.

Beliau melahirkan rasa kehairanan mengapa Asyraf Wajdi menyatakan antara sebab PRU disegerakan kerana kerajaan yang ada sekarang tidak stabil.

“Walaupun Asyraf Wajdi memberi alasan bahawa negara memerlukan Kerajaan yang stabil untuk memulihkan ekonomi dan menyediakan negara untuk menghadapi bencana banjir, tidak jelas mengapa boleh dikatakan kerajaan yang ada sekarang tidak stabil.

“Bahkan perdana menteri dan menteri-menteri daripada UMNO BN mempunyai kuasa untuk menyelesaikan perkara yang melibatkan pengurusan ekonomi dan bencana.

“Ketiga-tiga perkara ini perlu diselesaikan dahulu sebelum Parlimen dibubarkan dan PRU diadakan,” katanya.

Syahredzan mendakwa, mendesak PRU diadakan segera hanya dapat memuaskan nafsu mereka yang mahukan kuasa tanpa mengendahkan nasib rakyat.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hahaaa DAP ni masih mimpi sebagai kerajaan kot? Weiii..keputusan nak bubar parlimen bukan kena minta kelulusan pembangkang lah..haa

Comments are closed.